Selepas kejayaan pemain boling muda negara, Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh meraih pingat emas dalam Kejohanan Remaja Asia Ke-21 2022, gandingan pemain wanita Anis Hannani Romzi dan Adania Mohd Redzwan pula mencatatkan kemenangan di tempat kedua dalam acara berpasangan wanita.
BACA: Atlet Boling Muda Negara Buat Kejutan, Raih Emas Dalam Boling Remaja Asia
Pasangan atlet kebangsaan ini memberikan tentangan sengit kepada pasangan dari Singapura, Shirlene Wong Xue Lin dan Lim Shi En sebelum mencatatkan 2,424 jatuhan pin secara keseluruhan. Gandingan Singapura itu berjaya menafikan kemenangan pasangan negara selepas mencatatkan 2,466 jatuhan pin untuk meraih pingat emas.
Pingat gangsa pula diraih oleh pasangan dari Taiwan, Huang Hsin Tsen dan Tsai Zhu Han yang membuat 2,343 jatuhan pin.
Walau bagaimanapun, bagi acara berpasangan lelaki, Airel Amri Suhaimi dan Shaqeem Izwan Teh terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatatkan 2,599 jatuhan pin.
Tahniah diucapkan kepada semua atlet remaja yang menjadi wakil negara di kejohanan boling Asia. Semoga kemenangan dan pingat yang diraih dapat menyuntik lagi semangat untuk mereka berusaha dengan lebih gigih.
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
https://www.youtube.com/watch?v=ZR5k3G3N5LY&t=1064s
Rambut Baru, Semangat Baru! Azeem Fahmi Dapatkan Restu, Harap Aura Positif Untuk Sukan Olimpik Melekat
Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tampil dengan gaya rambut baharu yang lebih pendek dan kemas berbanding gaya mullet khas untuk penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024, Sabtu ini.
Ketika ditemui pemberitahu sewaktu acara send off di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang (KLIA); Azeem, 20 berharap penampilan segarnya ini akan memberi aura positif baginya mencatatkan catatan masa yang lebih pantas dalam acara 100m di Stade de France.
Malah, penampilan rambut baharu ini juga katanya adalah salah satu cara baginya membina keyakinan dan tampil lebih bertenaga.
“Sebelum ini ramai yang cakap pasal potongan gaya rambut saya. Jadi saya ikut apa yang mereka mahukan tapi dalam masa sama saya rasa ini adalah yang terbaik untuk saya.”
“Sebenarnya, rambut lama itu sudah tiga tahun saya simpan. Mungkin bila rambut sudah pendek ini, mana tahu saya boleh buat masa lebih baik di Paris nanti,” katanya yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat.
BACA: Azeem Fahmi Terus Banggakan Auburn University Dengan Pingat Emas 4x100m – REMAJA
BACA: Azeem Fahmi Raih Gangsa Acara 100m Sukan Asia Ke-19. Tamatkan Kemarau 41 Tahun! – REMAJA
Terdahulu, Azeem mencatatkan rekod kebangsaan iaitu 10.09 saat (s) sewaktu Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.
Penampilan jaguh pecut dari Teluk Intan, Perak itu di Sukan Olimpik ini pula adalah di atas tiket wild card setelah dipilih oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Keberangkatannya ke Paris turut disaksikan oleh ahli keluarga yang sempat menitipkan kata-kata azimat buat dirinya.
“Perkara yang selalu dipesan ibu, ayah dan abang saya adalah untuk nikmati larian saya dan jangan beri tekanana kepada diri sendiri.
“Mereka tahu saya boleh berlari dengan baik kalau saya sentiasa tenang dan tidak fikir terlalu banyak.
Kali ini saya mahu terjemahkan perkara itu apabila beraksi nanti,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro
Foto: BERNAMA Radio
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Setahun Setengah Berniaga, Khairul Aming Buka Kilang Kedua. Jualan Sambal Cecah RM14 Juta
Khairul Aming bukanlah nama yang perlu diperkenalkan lagi kepada semua. Anak jati Kelantan ini merupakan seorang pempengaruh media sosial dalam bidang masakan yang kemudiannya melebarkan sayap menerusi perniagaan sambal.
Kini dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Instagram, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman ini telah mengumumkan penjualan sambalnya selama setahun setengah operasi telah mencecah sejuta botol. Lebih mengujakan, dia kini dalam proses menyiapkan kilang kedua yang berkeluasan 22 ribu kaki persegi pula.
Ujarnya, “Selepas setahun setengah beroperasi, Alhamdulillah hari ini jualan sambal nyet berapi telah mencecah satu juta botol bersamaan dengan jualan sebanyak Rm14 juta. Kalau sebelum ini kita masak dan jual lebih kurang 200 botol sambal sehari sekarang kita dah boleh naik ke 5000 botol sehari.”
Ternyata perniagaan yang dibina berkembang pesat, ini dibuktikan dengan perkembangan jumlah pekerjanya. Dari hanya lapan orang sebelum ini, kini dia mampu menggaji 50 puluh orang pekerja.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak Ghairah Tukar Kereta Mewah, Khairul Aming Kongsi Kisah Perodua Bezza-nya
Seterusnya jejaka berusia 30 tahun ini turut berkongsi mengenai kilang keduanya yang juga dibangunkan di Kota Bharu, Kelantan. “Kilang kedua ini akan digunakan untuk menaikkan lagi pengeluaran sambal nyet dan kita akan menjadikan ia sebagai persediaan untuk produk kedua nanti. Sedikit sebanyak diharapkan dapat menaikkan ekonomi tempatan.”
Agak-agaknya apa produk kedua yang akan dikeluarkan ya? Sama-sama kita nantikan.
Popular di sosial media, kini dia memiliki lebih 1.9 juta pengikut di TikTok dan 3.4 juta pengikut di Instagram. Untuk pengetahun pembaca, Khairul Aming merupakan graduan lulusan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat.
Sangat menginspirasikan bukan? Semoga contoh baik yang ditunjukkan menjadi teladan kepada semua remaja di luar sana.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Khairul Aming
Banyak Kali Gagal Sebelum Berjaya Buka 2 Kilang, Khairul Aming ‘Throwback’ Realiti Jatuh Bangun
Pada era perniagaan digital sekarang, para usahawan dari segenap cabang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Dengan pengalaman dan keinginan untuk berjaya, tidak mustahil untuk mana-mana individu berjaya membina empayar perniagaan dari bawah.
Namun tidak semua kejayaan yang kekal selama bertahun-tahun itu datang bergolek begitu saja.
ARTIKEL BERKAITAN : Tak Ghairah Tukar Kereta Mewah, Khairul Aming Kongsi Kisah Perodua Bezza-nya – REMAJA
Contoh terdekat adalah usahawan sambal dan pempengaruh video masakan popular, Khairul Amin Kamarulzaman. Lebih mesra dikenali sebagai Khairul Aming, beliau yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 baru-baru ini telahpun memuat naik hantaran yang sedikit berbeza.
Selalunya kita akan memuat naik foto atau video bersama kek hari jadi bukan. Namun Khairul Aming memilih untuk berkongsi video realiti kehidupannya sebelum dan selepas bergelar seorang usahawan.
Sambil mengimbas semula ‘diari hidupnya dari usia 20 hingga 30 tahun, beliau berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepadanya selama ini.
Tahukah korang, Khairul Aming terlebih dahulu melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Vanderbilt University, Amerika Syarikat setelah memperolehi biasiswa. Bijak tau Khairul Aming ni!
ARTIKEL BERKAITAN : Jelaskan Isu Sambal Tumpah, Fakta-Fakta Cukup ‘Clear’ Khairul Aming Buat Netizen Kagum – REMAJA
Minatnya dalam seni videografi bagaimanapun masih menebal sehinggakan beliau pernah memenangi tempat pertama pertandingan video ‘Travel Video Contest’ sewaktu di bumi Uncle Sam. Hanya pada tahun seterusnya, Khairul Aming membeli sebuah kamera DSLR pertamanya dengan wang yang dikumpul sendiri.
Selain meraih anugerah dekan pada setiap semester dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan pengkhususan major Kejuruteraan Mekanikal dan minor dalam bidang Material & Science Engineering, Khairul Aming menamatkan pengajian dengan keputusan CGPA 3.75 serta meraih anugerah AT&T Innovation Award. Sejurus kembali ke tanah air, beliau memulakan dahulu kerjaya sebagai seorang jurutera bidang minyak dan galian sebelum kemudiannya beralih ke bidang logistik.
Dalam video tersebut, Khairul Aming berkongsi bagaimana empayarnya ‘KhairulAming’ bermula pada usia muda.
“Umur 25 tahun, saya teringin hasilkan side income. Saya jual healthy meal, gagal. Jual baju, gagal. Jual template resume, gagal.
“Saya rasa baik buat video memasak sahaja. Jadi saya set-up booth kecil untuk photoshoot guna besi almari baju dan kemudian muat naik video memasak ke saluran YouTube ‘Rasapop’.
“Umur 26 tahun, ‘Rasapop’ boom sampai setengah juta pengikut. Jadi saya buat keputusan untuk jual produk sendiri. Hari-hari balik kerja naik LRT ke Kampung Baru untuk beli botol dan lada. Buat R&D dan jual
“Saya ingatkan berjaya, rupanya tidak.”
“Semua gagal, Semua saving hilang, page ‘Rasapop’ pun jatuh views dan kena start balik dari awal,” katanya. Biarpun berdepan kegagalan dalam bidang perniagaan pada peringkat awal ini, sesuatu yang positif dalam diri Khairul Aming adalah betapa dia tidak takut untuk bangkit.
Kali ini, dia beralih kepada nama saluran berbeza iaitu ‘Khairulaming’. Masih muncul dengan video berkaitan masakan yang biasa kita tonton sekarang terutamanya pada bulan Ramadan, strategi beliau akhirnya membuahkan hasil.
Daripada 1000 orang pengikut di Instagram, sehingga kini ia telahpun mencecah angka 3 juta orang! Impian untuk mengubah hidup ayahnya bertahan beberapa ketika apabila ayahnya meninggal dunia pada usia 28 tahun. Khairul Aming nekad untuk keluar daripada bidang kejuruteraan secara total dan fokus terhadap penghasilan video masakan serta membuka perniagaan Sambal Nyet yang kini tular.
Dengan memiliki dua buah kilang hasil wang simpanan serta modal keuntungan yang diperolehinya selama ini, Khairul Aming tidak lagi berpaling ke belakang. Selama 10 tahun berdepan penuh cabaran, kerja keras, kejayaan, kegagalan dan pelbagai detik hidup yang mengajarnya erti syukur terhadap pengalaman yang diterimanya, Khairul Aming kini boleh berbangga dengan kejayaan Sambal Nyet.
ARTIKEL BERKAITAN : Setahun Setengah Berniaga, Khairul Aming Buka Kilang Kedua. Jualan Sambal Cecah RM14 Juta – REMAJA
Ingat guys, untuk berjaya bukan mudah. Untuk mempertahankan kejayaan lagilah tidak mudah. Namun langkah pertama yang perlu dilakukan sebenarnya adalah untuk memiliki ilmu dalam apa juga bidang yang ingin kita ceburi. Keberanian dan semangat untuk berjaya itu akan muncul menerusi pengalaman apabila kita mula bergaul dengan orang di sekeliling.
Selamat Hari Lahir Khairul Aming!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.