Sukan

Atlet Paragliding Negara, Nurniqmat Meninggal Dunia Pada Usia 31 Tahun Ketika Jalani Latihan Di Thailand

Share

Atlet sukan paragliding negara, Nurniqmat atau nama penuhnya Muhammad Nurniqmat Ruslan baru-baru ini dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 31 tahun selepas terjatuh ketika menjalani latihan di pantai Hua Hin, Prachuap Khiri Khan.

Khabar duka itu dimaklumkan sendiri oleh bapanya Ruslan Mehat (64) dan berkata anak bongsunya itu sempat memberikan sejumlah wang pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini sebelum kejadian ini berlaku.

“Anak baru sahaja memberikan saya dan mama sejumlah wang untuk dibawa ke umrah, tak sangka itulah pemberian terakhirnya,” katanya.

“Nurniqmat telah memberikan wang itu dengan niat untuk berbakti kepada keluarga dan membantu kami menunaikan umrah nanti. Namun ketika itu, kami tidak menyangka apa-apa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul Abideen, Bangkok, pada Sabtu.

Kredit: Bernama

Jelas Ruslan, beliau mendapat tahu mengenai kemalangan itu pada petang Jumaat dan segera menempah tiket penerbangan untuk ke Bangkok awal pagi Sabtu sebelum meneruskan perjalanan ke Hua Hin.

Dalam pada itu, Nurniqmat ketika hayatnya bertugas sebagai jurutera sokongan teknikal di kilang IBM, merupakan seorang yang penyayang terhadap keluarga dan aktif dalam sukan paragliding sejak dua tahun lepas.

“Kami tidak menyangka dia akan terlibat dalam kemalangan dan pergi buat selama-lamanya. Saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Selain itu, Ruslan turut memaklumkan bahawa anak bongsunya itu merupakan pesakit buah pinggang dan menjalani pemindahan buah pinggang dua tahun lepas.

Kredit: Bernama

“Arwah sangat gembira selepas menerima buah pinggang dan sering bersyukur kerana organ yang saya dermakan itu sesuai dengan badannya,” ujarnya dengan nada sebak. 

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada petugas Kedutaan Besar Malaysia di Thailand yang banyak membantu menguruskan jenazah dari Hua Hin ke Bangkok untuk dikebumikan.

Sukan paragliding (Kredit: Malaysia Tribune)

Sementara itu, rakan kepada Nurniqmat, Rafiee Aziz (48) yang turut menjalani latihan di Hua Hin ketika kejadian berkata beliau adalah seorang atlet berbakat dan telah layak ke pra Piala Dunia Paragliding di India pada Februari serta Kejohanan Asia di Kazakhstan pada Mei.

“Kami sama-sama sedang menjalani latihan di pantai Hua Hin dan cuaca ketika itu agak baik, namun tiba-tiba kemalangan berlaku dan Nurniqmat terjatuh ke laut”

“Saya bersama rakan-rakan yang lain cuba menyelamatkannya, namun arus pada ketika itu sangat kuat. Nurniqmat kemudian disahkan meninggal dunia di hospital di Hua Hin,” katanya.

Jenazah Nurniqmat telah disolatkan di sebuah masjid di Hua Hin sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul Abideen di Bangkok dan selamat dikebumikan pada pukul 6 petang waktu tempatan.

Sumber artikel & foto: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE