Atlet Termuda Sukan Komanwel Curi Tumpuan Dunia, Lawan Balik Walaupun Ketinggalan

Share

Anna Hursey buktikan dia lebih hebat daripada rakan sebaya.

 

Walaupun bergelar atlet termuda yang bertanding di kejohanan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast Australia, Anna Hursey ternyata bukan lawan mudah.

Pada usia 11 tahun, dia pada awalnya kelihatan malu berdepan dengan penonton antarabangsa di gelanggang ping pong. Namun, Anna membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuknya mewakili Wales dalam perlawanan bertaraf dunia.

Hari ini, pasukan ping pong wanita Wales berdepan dengan pasukan Sri Lanka. Dibantu dengan sorakan padu para penyokong, Anna yang berhadapan dengan Manikku Badu ketinggalan 2-0 di belakang.

Namun apabila memasuki set penentuan, penonton di arena ping pong itu merasa gelisah dan tidak boleh duduk diam apabila Anna mempamerkan permainan yang cukup bagus. Dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda ingin mengaku kalah walaupun ketinggalan lalu memenangi set tersebut dengan skor 12-10!

Memasuki set seterusnya, Anna semakin padu melakukan serangan namun akhirnya tumpas kepada Manikku yang jauh lebih berpengalaman. Iyalah, Manikku pernah bertanding dua kali sebelum ini di Sukan Komanwel. Sudah tentu dia hebat.

Namun semangat juang yang ditunjukkan Anna mendapat tepukan gemuruh daripada seluruh stadium. Malah, pengulas acara tersebut juga menyatakan dia berbangga dengan remaja perempuan tersebut.

Setelah media antarabangsa ‘menyelidik’ latar belakang pemain tersebut, rupa-rupanya Anna menceburi sukan ping pong seawal usia 5 tahun ketika dia mengikuti ibu-bapanya bercuti di China.

Anna kemudiannya mengambil keputusan untuk belajar dan berlatih ping pong di Harbin China.

Dia akan berlatih sehingga 30 jam seminggu dan gembira melakukan latihan intensif itu walaupun ia sukar. Sehinggakan jurulatihnya perlu memaksa Anna untuk kadangkala melupakan ping pong untuk seketika dan keluar bermain seperti kanak-kanak yang lain.

Hasil usaha keras tersebut, Anna telah memenangi kejohanan terbuka Welsh bawah 18 tahun pada usia 9 tahun.

Walaupun di luar gelanggang dia bersifat pemalu, namun apabila diberi bat ping pong, Anna nyata tidak boleh dipandang rendah.

Published by
FZ