Pejam celik,pejam celik rupanya grup lelaki popular dunia, Westlife sudah 20 tahun bertapak di dalam industri muzik dunia. Bagi meraikan detik bersejarah itu, Westlife telah pun mengadakan konsert jelajah Westlife Twenty Tour bagi memperingati perjalanan mereka sebagai salah sebuah grup lelaki paling berjaya di dalam sejarah muzik Britain.
Pada 8 Ogos 2019 lalu, bertempat di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam, kumpulan yang berasal daripada Ireland itu kembali menemui para peminat mereka di Malaysia setelah kali terakhir pada 2011.
Tepat jam 8.30 malam, suasana riuh bertukar menjadi gegak gempita apabila Westlife muncul selepas pertunjukkan skrin l.e.d bertaraf antarabangsa yang memaparkan wajah setiap ahli kumpulan sambil menyanyikan chorus Swear It Again.
Tampil bertenaga mempersembahkan 16 lagu-lagu hits seperti If I Let You Go, Uptown Girl, I Have A Dream, Queen Of My Heart, When You’re Looking Like That, You Raise Me Up, Unbreakable dan lagu ikonik mereka iaitu Flying Without Wings. Ia seakan-akan membawa kita kembali ke zaman lewat 90-an di mana lagu-lagu mereka sering dimainkan di corong-corong radio.
Selain persembahan vokal yang mantap, koreografi yang on-point dan set-list yang menarik, salah satu sebab Westlife berjaya menawan hati peminat Malaysia adalah disebabkan profesionalisme mereka dalam mengendalikan pentas.
Westlife telah membahagikan konsert tersebut kepada empat segmen dan setiap satu daripadanya dikendalikan oleh setiap anggota kumpulan iaitu Nicky Byrne, Shane Filan, Kian Eganand Mark Feehily.
Dalam pada keterujaan menghiburkan penonton, Westlife turut mengambil kesempatan menyeru rakyat Malaysia supaya sama-sama membantu memberikan maklumat mengenai kes kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoririn yang masih belum ditemui sejak 4 Ogos lalu di Dusun Pantai Hill, Seremban.
Menyedari bahawa mereka tidak berkesempatan untuk menyanyikan kesemua lagu hits mereka, Westlife memutuskan untuk menyanyikan beberapa buah lagu secara akustik medley antaranya Unbreakable, Season In The Sun dan Fool Again.
Bagi Remaja, kemuncak konsert pada malam tersebut sudah tentu ketika Westlife mempersembahkan lagu Uptown Girl. Mereka yang ratanya telah pun mencecah usia hampir 40 tahun dilihat bertenaga dengan koreografi yang mantap dan seragam.
Ketika para peminat bersedih saat Westlife mengumumkan ucapan selamat tinggal, sorakkan ‘We Want More’ bergema di dalam stadium. Tidak lama kemudian, mereka kembali semula ke pentas dengan mengenakan sepersalinan suit putih dan mengakhiri konsert dengan lagu hits sepanjang zaman iaitu Flying Without Wings.
Secara keseluruhan, REMAJA percaya pasti ramai peminat yang berpuas hati dengan persembahan Westlife kali ini walaupun ada beberapa lagu hits yang tidak dipersembahkan. Walauapa pun, tidak keterlaluan untuk REMAJA simpulkan bahawa Westlife masih lagi memiliki aura sebagai grup lelaki yang boleh menandingi grup popular masa kini.