Autisme Bukan Halangan, Nur Arif Jasmin Kini Bergelar Pelajar PhD Setelah Tamat Pengajian Sarjana

Share

Nama Nur Arif bin Jasmin menjadi tular apabila sebelum ini penyanyi dan aktivis sosial Nurheliza Helmi memuat naik rakaman pelajar PhD Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini. Bertitik mula dari video tersebut, ramai warganet yang kagum dengan jejaka tersebut yang berjuang dalam dunia akademik.

Dilahirkan pada tanggal 11 Januari 1992, jejaka berusia 30 tahun ini kini telah berjaya menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda. Cinta akan dunia akademik, Nur Arif kini bergelar pelajar PhD dan mendalami bidang pengajian Quran dan Sunnah.

Merupakan seorang penggemar karakter Power Rangers, Nur Arif tidak kekok berkongsi tentang obsesinya itu. Bahkan ketika di UIAM pun, dia pernah menyarungkan kostum tersebut siap dengan ‘senjata’. Selain itu dia juga gemar bermain Play-doh. Walaupun begitu, pelajaran masih menjadi keutamaan.

Baru-baru ini dalam sebuah temu bual di kaca televisyen, ketika ditanya mengenai pebelajarannya, Nur Arif menjawab, “Seronok, saya suka belajar sebab pensyarah baik. Saya suka belajar subjek hadis dan belajar macammana nak semak sumber status hadis, sebab ramai suka sebarkan hadis palsu. Dalam bidang Quran dan Sunnah belajar untuk mengkaji dan menyemak hadis.”

Pengacara kemudiannya bertanya lagi tentang cara dia menghafal hadis. Balasnya pendek, “Saya tengok je.” Ketekunan Nur Arif sebagai seorang pelajar yang dilahirkan dengan autism harus dicontohi, dia tidak menjadikan perkara itu sebagai satu halangan bahkan bercita-cita menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti.

Setiap orang dilahirkan dengan kekurangan dan kelebihan, begitu juga mereka yang tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU). Dalam kehidupan semua harus saling tolong menolong. Memetik pandangan Nur Arif, “Setiap OKU ada kekurangan dan ada kelebihan, tetapi boleh saling membantu mengikut kelebihan. Allah berfirman dalam surah At Tarabun, maka bertakwalah kamu kepada Allah mengikut sedaya upayamu.

“Kalau orang Autism boleh melihat, tapi orang buta tak boleh melihat. Maka yang autism bawa yang buta untuk berpimpin berjalan. Jangan jadikan alasan OKU untuk jadi lemah. Semua orang ada kekuatan tersendiri, cari kekuatan jangan fikir kelemahan. Kekuatan tu ikut kemampuan, jangan paksa.”

Dalam temu bual tersebut, Nur Arif turut disertai oleh Puan Khairiah Abdul Razak, Pegawai Psikologi UIAM dan juga Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin yang merupakan Ketua Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya di Pejabat Timbalan Rektor, UIAM.

Sebenarnya ketika awal pengajian Nur Arif di UIAM, pernah terjadi satu kisah yang mengajar ramai pihak tentang indahnya Islam. Menurut perkongsian dalam portal UIAM, ketika berusia 22 tahun Nur Arif pernah menjadi imam sembahyang fardu. Namun kemudiannya terdapat Jemaah menyatakan yang solat itu tidak sah kerana dipimpin oleh individu autistik.

Dakwaan ini kemudiannya dinafikan oleh seorang pensyarah Usul Al-Fiqh yang menyedarkan orang ramai bahawa solat itu sah. Dari insiden tersebut, Arif terdorong untuk mendalami ilmu Fiqh dan Usul Al-Fiqh.

Meninjau ke Facebook Nur Arif, penulis tertarik dengan satu hantaran yang dimuat naik mengenai Pegawai Psikologi UIA, Puan Khairiah Abdul Razak. Tulisnya, “Terima kasih akak Khairiah kerana telah kutip saya waktu berada dalam buangan dunia. Ajar saya erti hidup dan teman saya bermain hingga kini.”

Menerusi hantaran ini, boleh dikatakan Puan Khairiah banyak memainkan peranan dalam mendorong Nur Arif untuk lebih maju. Selain ucapan tersebut jejaka ini juga turut memberikan serangkap pantung yang berbunyi ;

Indah Rupa Anggun Menyerlah
Memikat Hati Di Kala Pasrah
Insan Bertuah Tiada Amarah
Kakakku Sayang Kak Khairiah

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Puan Khariah merupakan individu pertama yang mendapati Arif merupakan pelajar OKU dalam spektrum autisme setelah berbual dengan jejaka tersebut ketika dia mengadu mengenai masalah yang dialaminya.Menurut perkongsiannya tatkala ditemu bual dia sendiri meneliti masalah yang dihadapi Nur Arif dan kemudiannya merujuk kepada pihak hospital untuk didiagnosis secara formal.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen