Walaupun berstatus pelajar autisme, namun ia tidak menghalang buat Nur Arif Jasmin, 30, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Qur’an dan Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
ARTIKEL BERKAITAN : Kisah Peguam Autistik, K-Drama ‘Extraordinary Attorney Woo’ Raih Sambutan Hebat
Bercita-cita menjadi seorang pensyarah, pemuda ini telah didedahkan dengan ilmu agama oleh ibunya yang merupakan seorang guru mengaji al-Quran sejak di bangku sekolah lagi.
Diejek Dan Dibuli Kerana Autisme
Pernah dibuli dan ditertawakan yang berpunca daripada kekurangan kesedaran masyarakat sekeliling mengenai keadaannya. Namun ia tidak sedikit melunturkan semangatnya untuk berjaya dengan pencapaiannya sekarang.
Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini menangani kesedihan yang dialami dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan antaranya bermain permainan Power Rangers, tanah liat dan mainan helikopter.
Sepanjang lebih lima tahun melanjutkan pengajian di UIAM, dia sentiasa mendapat sokongan dan bimbingan dari pihak universiti seperti Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU) dan Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya (CCSC).
Menurut Ketua DSU, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin, pihaknya telah merangka pelbagai inisiatif yang dikhususkan kepada Nur Arif supaya dia dapat menjalani proses pengajian dengan baik.
Dibantu Rakan-Rakan Dan Sukarelawan
Selain itu, Nur Arif juga sering dibantu oleh para sukarelawan dan rakan-rakan daripada Kelab Ibn Ummi Maktum yang terdiri daripada pelajar UIAM.
Kini, Nur Arif tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kawan-kawannya mahupun sukarelawan untuk menjalani kehidupan seharian di kampus kerana dia sudah berani untuk berdikari sehinggakan mampu untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan OKU yang lain.
Memandangkan dia adalah pelajar PhD, Nur Arif sentiasa meluangkan masa lapangnya dengan membantu pelajar berkeperluan khas lain seperti membacakan soalan peperiksaan dan memimpin ke kelas untuk pelajar OKU penglihatan.
Lebih membanggakan, Nur Arif turut terpilih sebagai penterjemah untuk sebuah kitab aqidah terbitan Santai Ilmu Publications. Bukan itu sahaja, bakat seni reka grafik yang terpendam turut dapat dicungkil apabila dilantik sebagai pereka grafik bagi Pusat Islam UIAM yang bertanggungjawab mencipta poster dan melukis komik.
Bangga lihat orang Austime berjaya seperti ini. Paling penting jangan jadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk kita berjaya. Moga Nur Arif terus success dia masa akan datang dan berjaya mengapai cita-cita sebagai seorang pensyarah!
BACA LAGI : ‘Kekurangan’ Bukan Satu Alasan, Remaja Autisme Guna YouTube Jana RMXXXXX
Sumber : (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.