Tular baru-baru ini mengenai siasatan kes pelajar tingkatan tiga yang dipukul beramai-ramai di Kemensah Height Embun, Kemensah Taman Melawati di Ampang, pada 8 Mei.
Difahamkan, kejadian berlaku setelah berlaku perselisihan faham kononnya mangsa tidak menghormati sekumpulan pelajar senior tingkatan tiga.
Insiden mangsa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang pada bahagian belakang badan itu telah dirakam menggunakan kamera telefon pintar oleh salah seorang daripada 15 pelajar yang menyaksikannya.
Ia kemudiannya terlepas ke pengetahuan khalayak media sosial dan bertukar tular sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Tinjauan REMAJA di ruangan komen juga mendapati segelintir warganet menunding jari menyalahkan drama hit, Projek: High Council yang ditayangkan di Astro First sebagai pencetus kepada budaya buli dalam kalanagan pelajar sekolah menengah.
Menerusi drama 10 episod itu, ia memaparkan isu-isu sebenar yang terjadi di pesekitaran sekolah berasrama penuh lelaki dan warganet merasakan ramai remaja mulai terikut-ikut dengan perbuatan buli yang dipaparkan oleh karakter drama berkenaan.
Kesempatan REMAJA menemui salah seorang pelakonnya, Hazeeq Dean baru-baru ini diguna bagi mendapatkan pandangannya berkenaan insiden tersebut dan dakwaan yang dilempar ke atas Projek: High Council.
“Bagi Hazeeq, perbuatan (buli) sangatlah kebudak-budakan. Hazeeq pun kecewa apabila mendapat tahu mereka bukan sahaja membuli tapi tanpa segan silu merakam perbuatan tersebut. Tidakkah tukang rakam itu pun merasa bersalah apabila mereka seakan mengagungkan budaya buli?
“Apabila kita berada di pihak luar, kita tidak tahu apakah masalah yang tercetus antara pelaku dan pelajar yang dibuli, Mungkin ada sebab mereka lakukannya. Namun, itu tidak bermaksud masalah akan selesai hanya dengan membuli dan memukul.
“Bila kamu bergaduh dan tunjuk pula kepada semua orang yang kamu bergaduh, apa yang kamu nak buktikan pada mata dunia sebenarnya? Kamu bukan fighter, sebenarnya. Kamu individu yang gagal,” ulas pelakon tinggi lampai itu.
Tambah Hazeeq, rasa ‘bangga’ atau ‘puas’ yang mungkin dirasakan oleh pembuli tidak akan bertahan lama.
“Percayalah, bila mereka lihat semula video yang dirakam itu, mereka akan menyesal dan malu.”
“Saya sebenarnya kecewa dengan budak-budak yang menonton Projek: High Council dan nak jadi seperti watak-watak di dalam High Council. Ia sebenarnya adalah drama yang mengajar rakyat untuk tidak menjadi seperti watak yang ditonjolkan.
“Bila seseorang itu menjadi pembuli, pembelasah atau seperti watak saya yang ditonjolkan sebagai perogol di sekolah; itu sebenarnya adalah ciri-ciri orang yang gagal. Sebagai pelajar, budaya buli itu bukan untuk dicontohi tetapi untuk diambil sebagai iktibar,” katanya.
@remaja.my Finalis Hero Remaja 2020 turut hadir pada hari ini untuk memberi sokongan. Meerqeen, Haziq dan Nadhir. #UjibakatHeroRemaja2021 #HeroRemaja2020 #remaja ♬ Heartbreak Anniversary – Marc Daniel Bernardo
Terdahulu, pelakon utama Projek: High Council iaitu Nadhir Nasar juga menolak pandangan bahawa perbuatan buli di sekolah ditiru daripada babak-babak yang dipertontonkan dalam drama hit itu.
BACA LAGI: Jangan Obses Dengan Watak ‘Projek: High Council’ Sampai Jadi Pembuli Sekolah – Nadhir Nasar – REMAJA