“Ayah Jadi Rapat, Luangkan Masa Dengan Anak-Anak”, Guru Maut Jatuh Bangunan Sekolah Beri Petanda

Share

Innalillahiwainailahirojiun.

Seolah tahu dirinya akan pergi, guru sekolah, Rosle Abd Aziz, 54 yang meninggal dunia selepas terjatuh dari balkoni sekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah semalam menunjukkan perubahan sikap ketara.

Menurut anak sulungnya, Muhammad Zulhakim, 21 tahun, seminggu sebelum bapanya meninggal, bapanya ada menunjukkan perubahan sikap.

“Arwah bapa seorang yang suka masuk tidur awal namun seminggu sebelum kejadian, arwah sanggup meluangkan masa dengan anak-anak sehingga kami semua masuk tidur jam 12 tengah malam.
"Memang agak pelik dan tidak menyangka itu petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," luahnya yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM) semalam.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kira-kira setengah jam sebelum kejadian berlaku, arwah ada menghubunginya meminta dokumen persekolahan adiknya dan dia sempat ke sekolah berkenaan jam 12 tengahari.

"Saya sampai ke sekolah dan hanya adik keluar bertemu bapa untuk menyerahkan dokumen. Kami tidak sangka tidak lama kemudian, mama menghubungi saya memaklumkan kejadian yang menimpanya.
"Arwah sebelum ini ada menceritakan setiap kelas di sekolahnya memasang sinki sebelum pembukaan sekolah esok dan minat bertukang. (sumber Berita Harian).




Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, arwah yang juga guru di sekolah berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, ketika kejadian mangsa sedang melakukan pemeriksaan air bagi memastikan setiap sinki di dalam kelas berfungsi.

"Mangsa dikatakan memanjat keluar dari dalam kelas ke balkoni belakang sebelum memijak kerusi plastik dan tergelincir jatuh pada ketinggian tiga meter.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala berikutan terkena bahagian longkang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di Tanah Merah semalam.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya di balkoni berkenaan manakala terdapat guru lain dalam kelas itu.

"Terdapat guru yang melihat kejadian berkenaan dan kami dimaklumkan kesemua guru ke sekolah untuk melakukan persediaan sempena pembukaan sekolah esok. Mangsa yang mempunyai lima orang anak mengajar Matematik di sekolah berkenaan sejak 17 tahun lalu," katanya.



Zainuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Salam takziah dari kami di REMAJA. Semoga jasa guru ini yang mendidik anak bangsa ditempatkan di syurga firdaus di akhirat kelak.

Published by
Almaswa Haji Che Ros