Rasa cheesenya yang meleleh dan agak luar biasa membuatkan ayam goreng ini menjadi viral. Setiap hujung minggu boleh dilihat deretan anak-anak muda beratur dengan sabar di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semata-mata untuk menikmati keenakan Ciken Chiss Leleh Podeh.
Baru saja diusahakan dua minggu di sebuah gerai kecil di hadapan rumah, namun Ciken Chiss Lelah Podeh yang dijual RM10 bagi 10 ketul ayam (biasanya dapat lebih seperti tag line perniagaan mereka) mampu dijual 200 kg sehari pada hujung minggu. Digoreng panas-panas dengan tepung goreng rangup, disalut dengan cheese meleleh dan rasa pedas membuatkan ayam goreng menjadi sensasi di media sosial.
Menurut Nur Alisyah Alia bin Alfian, 23 tahun, gerai ayam goreng mereka hanya dibuat pada Sabtu dan Ahad sahaja. Tapi pada hari-hari biasa, pelanggan yang mahu mencuba boleh membuat tempahan secara dalam talian.
“Bermula hari Rabu membawa ke Jumaat, tempahan agak banyak. Boleh cecah sehingga lebih 50 kg sehari dan jumlah ini meningkat sehingga 200 kg-250 kg pada hujung minggu,” katanya memaklumkan perniagaan ini dimulakan oleh Nor Asyikin Jafri, 33 tahun yang mesra dengan nama Bundaharraz.Kitchen.
“Resipi ini kami olah beberapa kali sebelum dijual. Tak sangka ia menjadi viral dan menjadi pilihan orang ramai di sekitar Pantai Dalam Kuala Lumpur,”katanya memaklumkan di bawah jenama Bundaharraz.Kitchen, mereka turut menjual pelbagai jenis kek, pastry, puff dan banyak lagi.
“Kami bermula sudah lama dalam dunia perniagaan. Saya bertindak sebagai marketing bagi perniagaan ini. Namun hujung minggu saya bantu menggoreng di gerai sebab permintaan terlalu banyak,” katanya memaklumkan set Ciken Chiss Leleh Podeh turut dijual dalam bentuk set bersama air boba (bobable) yang datang dari empat perisa iaitu Milk Tea, Coklat, Green Tea dan Fresh Milk yang mana boba dimasak oleh mereka sendiri pada harga cuma RM15 sahaja (jika dibeli asing air berharga RM6 dan ayam RM10.00 tapi secara kombo ia dijual RM15.00 sahaja.
Jelas Nur Alisyah, permintaan yang banyak terhadap air boba a.k.a bobable ini membuatkan mereka terpaksa memasak berkali-kali bagi memastikan pelanggan dapat menikmati air sedap ini.
So bagi korang yang nak rasa kesedapan Ciken Chiss Leleh Podeh, boleh datang ke Pantai Dalam Kuala Lumpur atau masuk ke ig mereka.