Tiada niat mahu bermegah dan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk dengan apa yang beliau lakukan, itu pengakuan pelakon terkenal, Azhan Rani berhubung niatnya menderma darah bagi membantu golongan yang memerlukan.
Menurut pemilik nama sebenar, Azhan Abdul Rani yang kini berusia 48 tahun, beliau kini telah menjadi penderma darah plasma untuk kali ke-100 pada 27 Disember lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, pelakon yang popular menerusi drama Nur itu turut menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terbabit dalam memberikan penghargaan kepadanya.
“Hari ni lepas derma darah ada lain sikit. Doktor-doktor di Pusat Darah Negara dah tunggu di luar. Lepas itu, saya rasa macam konvokesyen pun ada, rasa macam dapat anugerah ABPBH pun ada, macam award the best agent insurance pun ya juga, siap ada sijil bagai”
“Alhamdulillah… sihat ini sebaik-baik anugerah yang Allah SWT dah pinjamkan. InsyaAllah semampu mungkin akan saya kongsikan selagi ada izinNya. 100 beg pada hari ni 27 disember 2024 akan jadi penutup manis untuk tahun ini,” katanya.
“Semoga Allah masih pinjamkan lagi kesihatan ini dan panjangkan umur. ada izinNya nak tutup mata nanti dengan sekurang-kurangnya 200 beg darah dari tubuh ini untuk mereka yang memerlukan,” jelas beliau lagi.
Azhan Rani juga turut berterima kasih kepada Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Mohammad Masrin yang menjadi wakil dalam menyampaikan penghargaan kepadanya serta bersyukur di atas layanan baik dan mesra warga kerja PDN kepada para penderma darah selama ini.
“Apa pun kemegahan bukanlah pada bilangan beg darah yang disumbangkan mahupun sijil tapi pada nyawa-nyawa yang dapat dibantu selain meningkatkan kesihatan diri sendiri. Semoga kekal pada nawaitu. InsyaAllah ,” ujarnya lagi.
Semoga lebih ramai yang melakukan kebaikan dan mengikut jejak langkah murni Azhan Rani. Dalam pada itu, jom kita lihat beberapa kelebihan yang penderma darah dapat apabila anda menderma darah:
Kesihatan
- Mengurangkan risiko serangan jantung.
- Mengurangkan risiko kanser.
- Meningkatkan peredaran dan pengaliran darah.
- Membakar kalori.
- Mengurangkan tekanan.
- Meningkatkan kesejahteraan emosi.
- Manfaatkan kesihatan fizikal.
- Membantu mengurangkan emosi negatif.
- Memberi rasa tujuan dan menggalakkan interaksi sosial.
Hospitaliti (bergantung berapa kali derma)
- Percuma rawatan pesakit luar.
- Percuma rawatan pergigian.
- Percuma rawatan perubatan di wad kelas satu atau dua.
- Percuma suntikan pencegahan Hepatitis B.
Sumber: Sinarplus
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.