Inpirasi

Azny Jalil Mahu Beri Inspirasi Kepada Remaja! Aktif di Universiti Tidak Semestinya Tidak Boleh Cemerlang!

Share

Dalam dunia pendidikan tinggi, sering kali kita mendengar stereotaip sesetengah pihak bahawa mahasiswa yang terlibat aktif dalam aktiviti luar kelas mungkin akan mengorbankan pencapaian akademik mereka.

Namun ia berbeza buat Azny Bin Jalil (22), seorang mahasiswa yang berasal dari Johor Bahru, telah membuktikan pencapaiannya dengan menerima Anugerah Naib Canselor dalam Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi baru-baru ini bahawa bergiat aktif di universiti tidak semestinya tidak mampu untuk cemerlang dalam akademik.

Menurut Azny yang pernah berkhidmat sebagai Exco Kebajikan dan Kewangan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UiTM Shah Alam, pemikiran seperti itu cuma sekadar pendapat buat sesetengah masyarakat dan ia adalah sesuatu yang perlu diubah.

Kredit: Azny Jalil

“Belajar adalah perkara hakiki bila kita masuk ke universiti tapi dalam pada itu saya rasa tidak ada istilah wakil MPP tidak cemerlang dalam akademik. Malah bagi saya, ada banyak hal yang saya dapat semasa aktif di universiti”

“Contohnya kami secara tidak langsung mendapat kemahiran dalam menyelesaikan masalah, mampu bekerja dalam pasukan, keyakinan diri juga lebih baik, ada kemahiran untuk berkomunikasi dengan pelbagai pihak, belajar untuk mengambil keputusan dan banyak lagi,” jelas Azny.

Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam dalam Sarjana Muda pengurusan Sukan (Kepujian) berkata, seorang pelajar perlu bijak untuk menguruskan masa dan jika perlu, pelajar perlu mencari inisiatif sendiri untuk menyusun jadual setiap bulan.

Kredit: Azny Jalil

“Saya gunakan sistem jadual dalam telefon, Jadi saya akan susun setiap aktiviti yang perlu saya hadiri dan disitu juga saya boleh tahu bila masa saya lapang. Selain itu, saya akan meluangkan masa untuk beriadah bagi kekalkan kesihatan dan pada waktu malam, jika tiada sebarang aktiviti, saya akan tidur awal,” katanya.

Azny juga menjelaskan, dia akan mencari waktu untuk mengulangkaji dan belajar pada pukul 3 pagi untuk memahami kuliah yang terlepas dan ada meminta bantuan rakan sekelas untuk merakam atau memberi nota supaya dia tidak jauh ketinggalan dalam pelajaran.

Kredit: Azny Jalil

Dalam pada itu, Azny percaya bahawa pengalaman seperti ini tidak semua pelajar dapat dan dia berharap remaja di luar sana dapat mencuba jika diberikan peluang.

“Kita perlu cuba benda baru untuk dipraktikkan pada masa akan datang sebab nanti dalam dunia pekerjaan, kita akan jumpa pelbagai ragam manusia. Jadi jika ada pengalaman, inshAllah kita dapat sesuaikan diri dengan baik”

Kredit: Azny Jalil

Antara Penglibatan Azny Jalil di UiTM:
Komander Kesatria UiTM – Ditauliahlan sebagai Leftenan Muda (KEST) pada Mac 2023.
Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi – Player Mens Lions Netball UiTM kejohanan Sukan antara IPT.
Sukan Volleyball – Wakil Fakulti dan Wakil Kolej, Handball – Wakil Fakulti.
Terlibat dalam program Kesukarelawan GOLF/ Sukanun/ Misi banjir dan Sukarelawan Vaksin.
Presiden Kelab Anomalist UiTM.
Monolog KARYAKU Pertandingan antara Kolej 2020 (Johan) – Pengarah terbaik, Sinografi Terbaik.

Pencapaian:
Sukan Netball – Tempat ke-3 peringkat IPT.
Sukan Volleyball – Emas.
Sukan Handball – Emas.

Kredit: Azny Jalil
Kredit: Azny Jalil

Sementara itu, Azny yang kini sudah pun berada di semester lima (5) juga memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana (Master) selepas melengkapkan Sarjana Muda (Degree). Katanya, dia selalu teruja dan seronok dalam menuntut ilmu dan baginya semasa belajar kita perlu menikmati setiap waktu itu supaya tidak terlalu tertekan.

Akhir sekali, beliau juga turut menasihatkan remaja di luar sana agar tidak pernah takut untuk sentiasa aktif melibatkan diri di alam universiti. Selain mampu mengajar diri untuk berada di luar zon selesa, terdapat banyak kemahiran yang boleh digarap sebagai persediaan pelajar untuk menempuh alam pekerjaan kelak.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE