Badi PM Lepas Jawatan Semasa Jepun Anjurkan Temasya Sukan Dunia BERTERUSAN

Share

 

Setelah lebih sebulan bandaraya Tokyo menjadi medan sukan terbesar dunia, akhirnya hari akhir penganjurannya tiba juga.

Dalam tempoh beberapa jam lagi, Tokyo Jepun secara rasminya akan menutup tirai penganjurannya temasya sukan paling berprestij dunia sejak ia menganjurkan Sukan Olimpik pada 24 Julai lalu diikuti oleh Sukan Paralimpik yang berakhir pada hari ini.

Sumber Foto : Insider The Games

Dalam tempoh 44 hari ia berlangsung, reaksi yang diterima oleh Tokyo sebagai tuan rumah kali ini boleh dikatakan bercampur baur. Dari sudut delegasi negara yang bertanding di sana, mereka terus-menerus memuji Tokyo di atas kemampuannya untuk menganjurkan kedua-dua temasya tersebut selancar mungkin biarpun dunia kini sedang bergelut dengan pandemik wabak COVID-10.

Tidak keterlaluan jika REMAJA katakan tiada negara lain yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah ini sebaik Jepun pada waktu ini.

Bagaimanapun, dari sudut rakyat Jepun terutamanya di Tokyo pula, seawal bulan Mac lalu mereka telah menyifatkan Tokyo 2020 sebagai sebuah temasya yang membawa nasib malang kepada mereka.

Jepun seakan tersekat di tengah-tengah. Keputusan meneruskan penganjuran ini telah menyaksikan sektor ekonomi dan kewangan Jepun mengalami kerugian teruk akibat beberapa keputusan seperti ketiadaan penonton di dalam stadium yang terpaksa diambil negara itu demi memastikan Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik berjalan selancar mungkin. Namun pada waktu yang sama, Jepun akan menggalami lebih banyak kerugian sekiranya mereka membatalkan penganjuran.

Selain itu, seperti dijangka, jumlah kes baharu positif COVID-19 di sana juga mendadak hingga tiga kali ganda dalam tempoh sebulan ini.

Lebih daripada 500 jangkitan baharu yang disahkan berkaitan dengan Sukan Olimpik dicatatkan manakala 300 lagi jangkita mempunyai kaitan dengan Sukan Paralimpik. Malah, penganalisa di sana juga kini khuatir terhadap sebilangan anak muda di Jepun yang merasakan adalah selamat untuk mereka tidak lagi mengikut peraturan

yang ditetapkan bagi melindungi diri dan orang di sekeliling; hanya kerana mereka melihat visual orang ramai berkumpul semasa Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik dilangsungkan. Banyak laporan baharu berhubung peningkatan aktiviti berkumpul beramai-ramai secara senyap sejak sebulan lalu.

Bukan itu saja nasib malang yang dialami Jepun.

Penganjuran Tokyo 2020 juga menyaksikan badi yang dialami oleh Perdana Menteri Jepun yang sedang memerintah semasa temasya sukan besar dilangsungkan; berterusan.

Setiap kali Jepun menjadi tuan rumah, setiap Perdana Menterinya pada waktu itu akan melepaskan jawatan tanpa gagal.

Ini telah berlaku sejak Sukan Olimpik Tokyoo 1964 di mana Perdana Menteri Hayato Ikeda meletak jawatan sehari selepas acara penutup. Ia diikuti Perdana Menteri Eisaku Sato pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Sapporo (1972), Perdana Menteri Ryutaro Hashimoto pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Nagano (1998) dan Perdana Menteri Shinzo Abe yang meletak jawatan pada September tahun lalu akibat masalah kesihatan; hanya Tokyo 2020 disahkan bakal dianjurkan pada tahun 2021.

Yoshihide Suga semasa menyertai upacara pembukan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Badi itu nampaknya berterusan apabila Perdana Menteri Jepun terkini iaitu Yoshihide Suga baru saja mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding

sebagai calon pemimpin parti beliau yang akan berlangsung pada bulan ini.

Pengumuman yang dilakukan dua hari sebelum acara penutup Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah mengejutkan ramai pihak.

Sumber Foto : Zimbio

Banyak faktor yang mempengaruhi keputusan beliau ini; antaranya termasuklah kenaikan kes COVID-19 paling teruk pernah dicatatkan Jepun setakat ini, proses vaksinasi lambat dan tentunya, disebabkan keputusan meneruskan penganjuran sukan. Bagaimanapun, Perdana Menteri berusia 72 tahun itu akan terus komited dalam usaha melandaikan kes COVID-19 di Jepun.

ARTIKEL BERKAITAN : Mampukah Malaysia? Penduduk Tokyo Tawar Diri Kutip Sampah Keliling Stadium – REMAJA

Published by
FZ