Awal minggu ini, dunia dikejutkan dengan kematian tragis yang melanda model dan sosialit kelahiran Hong Kong, Abby Choi.
ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Kepala Ditemui Dalam Periuk Sup, Nasib Malang Model Hong Kong – REMAJA
Bagaikan kronologi filem seram, Abby dilaporkan dibunuh dengan kejam apabila mayatnya ditemui dalam keadaan telah dipotong dan disorokkan di beberapa tempat berasingan.
Sehingga ke hari ini, anggota forensik dan pihak polis masih berusaha untuk mencari bahagian tubuh Abby yang masih belum ditemui di samping cuba menjejaki suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian jelitawan berusia 28 tahun itu.
Selang beberapa hari selepas Hong Kong berdukacita di atas tragedi yang menarik perhatian media sedunia itu, semalam penduduknya terus diasak dengan satu lagi kejadian tidak diingini.
Tepat pada jam 11.11 malam, pihak berkuasa mengesahkan kebakaran sebuah menara setinggi 42 tingkat di Tsim Sha Tsui, sebuah hab membeli-belah popular dan pusat tarikan pelancong berdekatan dengan pelabuhan.
Menara tersebut merupakan sebuah projek yang kembali diusahakan semula dengan kos 3 bilion dolar Hong Kong atau kira-kira RM3,423,123,561.
Berdasarkan rakaman video dan paparan foto yang menghiasi kesemua portal serta akhbar di Hong Kong pada pagi ini, menara yang sedang dalam fasa pembinaan itu habis dijilat api pada tengah malam tadi.
Lapor Al Jazeera, api marak sehingga ke skala 4 daripada 5 poin menandakan kebarakan teruk sehingga memaksa kira-kira 130 penduduk yang menetap di tiga buah bangunan bersebelahan terpaksa meninggalkan kediaman mereka setelah api mara.
Turut mengalami kebakaran ialah di bangunan Sheraton Hong Kong Hotel & Towers. Namun, kebakaran kecil di kesemua bangunan-bangunan berdekatan itu berjaya dipadam tanpa mengakibatkan kecederaan penghuninya.
Orang ramai juga diarah untuk tidak mendekati kawasan tersebut memandangkan struktur beberapa tingkat menara tersebut termasuklah palang pembinaan habis terbakar menyebabkan cebisan jatuh ke atas jalan raya di aras tanah.
Tinjauan ke ruangan komen di media sosial memperlihatkan sentimen sedih dan terkejut warganet sedunia dengan tragedi ini.
Ada yang mengucapkan takziah kepada penduduk Hong Kong setelah mereka menjadi tumpuan dunia sepanjang minggu ini di atas sebab yang malang. Tidak kurang juga yang takut melihat skala kebakaran tersebut dan menganggapnya ibarat ‘neraka dunia’.
Lapor Reuters buat masa ini, Empire Group yang merupakan pemaju projek menara terebut masih belum memberi kenyataan rasmi berhubung kebakaran yang melanda projek mereka itu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.