Sebelum episod pertama ditayangkan pada 26 Oktober (Sabtu) ini, para finalis telah dijemput ke Meletop untuk memperkenalkan diri masing-masing buat kali pertama di hadapan orang ramai selepas sesi sidang media yang berlangsung pada 15 Oktober lalu.
Seperti biasa, Neelofa bertanyakan soalan bernas kepada mereka. Cuma ada satu soalan yang mencuri perhatian ramai netizen dan ia hadir daripada Dewi Remaja 2009/10 itu sendiri.
“Semasa saya bertanding dahulu, media sosial tidak begitu kuat seperti sekarang. Yang ada pun hanyalah Facebook dan kita mudah untuk mengawal pressure yang datang darinya.
“Zaman korang pula berlainan. Bagaimana nak elakkan kontroversi berlaku lagi dalam Dewi Remaja pada kali ini?”
Soalan itu relevan memandangkan penganjuran pada edisi kesepuluh yang lalu dicemari oleh kontroversi yang sedikit sebanyak mencacatkan legasi pencarian ini sejak ia dianjurkan pada tahun 1985.
Finalis Top 12 tidak tersentak dengan soalan Neelofa itu, malah lancar menjawab semula. Salah seorang finalisnya iaitu Adriana berkata, “Saya rasa sukar untuk kita kawal apa yang orang luar cakap. Susah nak tutup mulut orang. Tetapi apa yang kami boleh lakukan adalah untuk menjaga perilaku yang baik.”
Seorang lagi iaitu Shaza Bae pula berkata mereka perlu sedar dengan komitmen selepas bergelar peserta Dewi Remaja 2019.
“Bila sudah masuk ke pertandingan seperti ini, kami secara tak langsung sudah meletakkan diri kita di khalayak ramai. Segala kecaman dan kritikan perlu kta hadapi kerana sudah berada di bawah spotlight umum.”
Jelas Sharlina Gilbert pula, “Kita perlu tahu cara untuk mengawal diri sendiri di media sosial. Yang negatif abaikan, yang positif kita ambil untuk perbaiki diri.”
*
Sementara itu, Nabil ingin tahu mengenai misi mereka menyertai Dewi Remaja 2019. Bagaimana mereka ingin memberikan inspirasi kepada penonton terutamanya kepada remaja yang lebih muda daripada mereka.
“Nynaa sebelum ini perlu seimbangkan pembelajaran, peluang berlakon dan karier sebagai seorang model. Orang luar nampak model ini mempunyai kerja yang mudah, tetapi tidak ya. Jadi saya rasa kami sebagai finalis boleh memberikan inspirasi dari sudut itu.
“Mereka perlu utamakan pembelajaran, tetapi jangan sesekali lupa untuk mengejar impian,” kata graduan jurusan perakaunan dan kewangan itu.
*
So korang dah ready untuk menonton episod pertama Dewi Remaja 2019?