Esok, umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Haji atau disebut juga Hari Raya Korban. Bagi negeri di Pantai Timur, sambutan Hari Raya Korban ini dianggap satu kebesaran.
Hari ini 9 Zulhijjah iaitu hari wukuf yang amat penting bagi ibadah haji (Arab Saudi sudah menyambutnya semalam). Jika kita diberi kesempatan menunaikan ibadah haji, tarikh ini amat penting di mana setiap jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah.
Amalan wukuf adalah satu perhimpunan besar manusia dengan bahang terik mentari di Padang Arafah, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredhaan Ilahi. Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.
Oleh itu, setiap insan wajib muhasabah diri dan juga bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan segala dosa tersebut di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar itu.
Sebab itulah dalam apa jua keadaan pun, setiap jemaah yang keuzuran akan dibawa juga ke Padang Arafah dan jika tidak ibadah haji itu tidak lengkap sepenuhnya dan perlu mengulanginya semula. Malah ia juga adalah penanda berakhirnya musim haji selesai wukuf di Padang Arafah.
Sesuatu yang harus difahami, bagi yang tidak berkesempatan atau belum berpeluang menunaikan haji, 9 Zulhijjah itu tidak harus dipandang enteng atau mudah kerana kita digalakkan untuk berpuasa sunat Arafah selain berdoa kepada Allah kerana dikatakan doa lebih makbul pada hari wukuf ini.
Jika seseorang itu berpuasa di Hari Arafah, berdasarkan sabda Rasulullah SAW.
“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim).
Menurut Najiq Masjid Al Khadijiah, Ustaz Shahril bin Abd Samad, umat islam digalakkan berpuasa pada hari ini bersandarkan hadis sohih Riwayat Muslim.
“Berpuasa pada hari Arafah itu boleh menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa yang akan datang.
Jelas Ustaz Shahril lagi, sesiapa yang memilih berpuasa pada Hari Arafah ini adalah satu tanda nikmat Allah kurniakan buat semua hamba-hambaNya.
“Mungkin ramai yang tidak menyedarinya atau masih belum bersedia, namun seandainya kita terus diberi kesempatan usia dan kesihatan, adalah sebaik-baiknya kita berpuasa pada hari Arafah.
“Bersandarkan hadis ini, ia menghapuskan dosa kita setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ternyata rahmat Allah itu cukup besar buat umatNya,”katanya lagi.
Dalam pada itu, jelas Ustaz Shahril, umat islam disarankan berdoa dan memintalah seberapa banyak dan insya Allah, setiap doa-doa itu diterima Allah taala,’ katanya lagi.
“Di hari Arafah ini selain berdoa meminta yang baik-baik untuk diri, ahli keluarga, orang yang kita sayang, muslimin dan muslimat di seluruh dunia, kita juga disunatkan membuat 12 perkara pada hari Arafah ini.
Antaranya bangun awal pagi, tahajud, solat taubat, solat subuh berjemaah, berzikir dan berdoa, mengeratkan ukhwah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Ustaz Shahril menjelaskan, Padang Arafah adalah tempat pertama Nabi Adam dan Hawa dipertemukan kembali selepas kedua-duanya dikeluarkan dari syurga Allah.
“Arafah dari sudut lain membawa maksud mimpi. Ia berkaitan dengan mimpi Nabi Ibrahim yang disuruh menyembelih anaknya Nabi Ismail yang kemudian menjadi ibadah korban yang kita raikan sehingga kini,” katanya lagi.
Insya Allah kalau hari ini kita tiada kesempatan dan jika usia dilanjutkan ke tahun hadapan, jangan lupa berpuasa dan berdoa ya. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada bersama kita semua sehingga ke hari akhirat.