Bagaimana Urus Pesakit Terlantar? Doktor Kongsi Teknik Penjagaan Sebenar Yang Ramai Buat Silap

Share

Ramai diuji dengan kesakitan. Ada ketika mak atau ayah terlantar sakit dan memerlukan penjagaan rapi dari anak-anak. Kebiasaannya selepas ditukarkan lampin, di lap tubuh badannya dan diberi makan atau minum, pesakit akan dibiar terlantar di katil kerana kita sering beranggapan, tiada apa yang boleh dilakukan khususnya bagi mereka yang alami strok.

Tapi jika kita hanya membiarkan ahli keluarga terbaring, ia merupakan satu kesilapan kerana apabila terbaring lama, tubuh badan pesakit akan dihidapi KUDIS TEKANAN.
Baca perkongsian ditulis oleh doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan bagaimana menjaga pesakit terlantar di fbnya.

 

Pesakit terlantar memerlukan penjagaan rapi dan tidak boleh dibiarkan terbaring begitu saja seharian – Gambar hiasan semata

“Puan, perlu ubah posisi pesakit setiap 2 jam”

Menjaga pesakit terlantar bukanlah perkara yang mudah. Penjaga perlu menguruskan segala urusan pesakit termasuklah, makan dan minum, kebersihan, dan aspek-aspek lain seperti senaman dan pemposisian untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.

Penjagaan pesakit tampak seperti perkara yang lazim, tetapi hakikatnya, penjaga atau waris perlu belajar cara yang betul menjaga pesakit terlantar.

Salah satu komplikasi yang paling kerap berlaku adalah kudis tekanan. Komplikasi perlu dielakkan kerana jika pesakit mendapat kudis tekanan, ia boleh mengakibatkan keadaan pesakit bertambah buruk dan ia juga menambahkan beban penjaga.

Kudis tekanan terjadi apabila pesakit baring atau duduk pada posisi yang sama untuk durasi masa yang panjang. Ini menyebabkan bahagian yang menampung berat pesakit mendapat kurang bekalan darah beroksigen. Situasi ini menyebabkan tisu dibahagian tersebut mati dan menjadi kudis.

Pesakit terbiar lama akan mengakibatkan kudis tekanan. Gambar hiasan semata

Bahagian tubuh yang mempunyai benjolan tulang atau balutan otot yg nipis terdedah kepada risiko kudis tekanan, contohnya:

– belakang kepala(occiput)
– belikat bahu(scapula)
– siku (olecranon)
– tongkeng (sacrum)
– tulang punggung (ischium)
– benjolan sisi tulang paha (greater trochanter)
– sisi lutut (condyles of tibia)
– buku lali (malleolus)
– tumit (calcaneus)

Kudis tekanan paling kerap berlaku di tulang tongkeng(sacrum) kerana ia menampung beban berat badan ketika berbaring terlentang, tetapi tidak dilindungi oleh otot dan tisu kulit yang tebal.

Bagi mengelakkan ia berlaku, pesakit terlantar di atas katil hendaklah diposisikan mengiring ke kiri dan selepas 2 jam, posisinya diubah kepada posisi mengiring ke kanan pula. Tempat berisko yang lain seperti di antara lutut, dan dibawah buku lali di ampu dengan bantal.

Adab menziarah amat dituntut dalam Islam dan memberi kegembiraan kepada pesakit. Gambar hiasan semata

Selain pemposisian, beberapa alatan juga digunakan untuk mengurangkan tekanan pada bahagian berisiko seperti ripple mattress (tilam angin yang mempunyai permukaan berombak dan tekanan anginnya dikawal oleh pam elektrik), pad silikon, dan lain-lain.

Faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kudis tekanan adalah kelembapan, geseran, penyakit kulit, kebersihan dan keadaan kesihatan pesakit. Oleh itu, perkara-perkara ini juga perlu diambil kira.

Pesakit yang lumpuh kedua-dua belah kaki juga disarankan menggunakan kusyen angin pada kerusi roda mereka dan perlu melakukan hand push up untuk elakkan kudis tekanan pada tulang tongkeng dan tulang punggung.

Tilam angin antara keadah terbaik digunakan bagi mengelak kudis di badan pesakit terlantar

Ramai pesakit dan penjaga mengabaikan perkara-perkara ini kerana menganggap ia remeh dan melecehkan. Sebenarnya, jika pesakit mendapat kudis tekanan, ia akan lebih sukar kerana penjagaan luka kudis tekanan amat rumit dan membebankan.

Pemposisian adalah teknik pencegahan yang terbukti berkesan menurut bidang perubatan moden, malah teknik ini juga termaktub dalam Al-Quran.

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.”—Surah Al-Kahfi ayat 18

Pemuda-pemuda Al-Kahfi ini tidur selama 309 tahun, tetapi kerana sentiasa diposisikan ke kiri dan ke kanan, mereka tidak mendapat kudis tekanan.

Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

Salam Jumaat. Jom al-Kahfi.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Unit Rehabilitasi #MedTweetMY

Published by
Almaswa Haji Che Ros