Bagi Yang Kata Soalan SPM Sejarah Susah, Guru Ini Bagi Tips Senang Nak Skor A+

Share

Hari ini keputusan SPM 2019 telah diumumkan. Seramai 8876 pelajar  dari 389,498 calon memperoleh keputusan cemerlang bagi semua mata pelajaran yang diambil. Keputusan tahun ini menunjukkan peningkatan dari SPM 2018 seperti yang diumumkan oleh Ybrs Dr. Habibah Abdul Rahim, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia hari ini.

SPM 2019 mencatat cerita tersendiri. Pernah kecoh di media sosial soalan Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan yang didakwa terlalu susah sehingga satu petisyen dilancarkan iaitu meminta markah lulus bagi Add Math ialah sebanyak  5 peratus sahaja.

Kalau hendak diikutkan, tiada peperiksaan yang mudah. Dalam dunia pekerjaan, untuk kenaikan pangkat, pekerja akan melalui ujian terlebih dahulu. Sebagai pelajar pula, ujian peperiksaan dilakukan adalah untuk menguji kemahiran murid, memahami apa yang diajari guru dan selebihnya membaca isu-isu semasa kerana begitu banyak soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diberikan untuk melihat sejauh mana kemampuan murid berfikir.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Fahmi hadir di SMK Sri Pantai Kuala Lumpur bagi penyerahan keputusan SPM 2019. Turut kelihatan Pengetua Ustaz Wan Mohd Zaidi Wan Mahmood.
Pelajar menanti penuh debaran sebelum mengambil keputusan masing-masing. Dari seramai 169 calon di SMK Sri Pantai Kuala Lumpur, 131 calon memperoleh sijil penuh SPM.

REMAJA berkesempatan menemuramah Cikgu Siti Aminah Abdul Majid, guru mengajar subjek Sejarah tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai, Kuala Lumpur yang diminta mengulas mengenai subjek Sejarah yang didakwa pelajar agak susah dikuasai. Lebih menarik, Cikgu Siti Aminah yang juga guru petanda kertas bagi subjek berkenaan sejak bertahun lalu sempat memberikan tips bagaimana untuk lulus mudah dalam mata pelajaran berkenaan.

Jelas Cikgu Siti Aminah, pelajar harus mengetahui apa perkembangan terkini di dalam negara untuk mudah lulus subjek Sejarah

Mengulas subjek Sejarah susah seperti didakwa, jelas Cikgu Aminah, apa yang paling penting adalah pelajar mesti mempunyai minat membaca dan mesti ambil tahu mengenai perkembangan semasa berlaku di dalam negara. Lagi satu pemilihan soalan amat penting selain “key word” kena ambil tahu, baru boleh menjawap dengan mudah.

“Saya sudah mengajar lebih 20 tahun subjek Sejarah ini. Jika 10 tahun dulu, pelajar mesti menghafal fakta tarikh-tarikh tetapi hari ini soalannya tidak berbentuk demikian. Ia lebih kepada soalan berbentuk kemahiran berfikir.

“Kalau calon  tidak membaca dan kurang pengetahuan am mengenai apa yang di dalam negara  mereka akan kata ianya susah. Sebagai contoh mengenai pilihanraya, kalau pelajar langsung tidak tahu mengenai pilihanraya, memang susahlah nak jawap.

So korang boleh tengok tips yang Cikgu Siti Aminah beri ya!

“Bagi saya sebagai seorang guru, kita berusaha membantu murid memahami apa yang diajar. Seperti Sejarah yang terbahagi kepada tiga kertas. Kertas 1 objektif. Kertas 2 merujuk kepada soalan struktur (soalan berdasarkan dari buku teks) dan Kertas 3 lebih kepada Open Book (bahan rujukan boleh didapati dari buku teks atau bahan rujukan diberi oleh guru.

“Kertas 2 dan 3 merujuk kepada soalan-soalan KBAT dan kertas 1 adalah penanda aras berapa pelajar akan peroleh markah iaitu A+, A-, B dan sebagainya,” katanya memberikan nasihat calon harus memperbanyakkan pembacaan berkaitan negara kerana soalan-soalan bagi Kertas 2 & 3 berkaitan isu semasa.

Tq Cikgu atas tips nie. So harap korang yang nak ambil peperiksaan tahun nie lebihkan membaca ya sebab ia banyak berkaitan dengan isu semasa. Jadi kena ambil tahu mengenainya. Apa pun tahniah buat calon yang peroleh keputusan cemerlang dan bagi yang biasa-biasa tu ingatlah rezeki ada di mana-mana asal korang rajin berusaha.

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros