Wanita anggun berusia 26 tahun ini merupakan seorang veteran dalam pertandingan ratu cantik di Thailand. Memiliki nama penuh Veena Praveenar Singh, dia merupakan rakyat Thailand yang berdarah India yang mana dia dilahirkan dan dibesarkan di negara gajah putih itu.
Dengan ketinggian 178cm dan berwajah fotogenik, dia sentiasa menjadi perhatian tatkala menyertai pertandingan ratu cantik. Pada tahun 2018 dia menyertai Miss Universe Thailand dan berjaya berada di kedudukan lima terbaik, dua tahun kemudian pada 2020 dia sekali lagi mencuba nasib dan terpaksa akur berada di kedudukan naib juara.
Ramai yang menyarankannya agar menyertai sekali lagi supaya berjaya mewakili negara. Namun nampaknya hasrat itu terpaksa dilupakan kerana Veena sudah memilih untuk menamatkan zaman bujang bersama lelaki pilihannya awal bulan ini.
Memilih tarikh 02.02.2022, dia yang berasal dari bandar Chiangmai ini telah mengikat tali pernikahan bersama jejaka pilihan hati, Charoen Singh. Charoen merupakan seorang usahawan dan memiliki sebuah agensi pemasaran digital.
Sudah jadi adat dalam satu-satu perkahwinan, busana yang digayakan pasti menjadi perhatian. Pasangan sama cantik dan sama padan ini berkahwin dalam persalinan yang cukup menawan. Veena tampil cantik dalam persalinan tradisi dan juga moden manakala Charoen pula tampak segak di samping isteri tercinta.
Sebagai peserta ratu cantik, semestinya Veena tidak kalah dalam bergaya. Dua busana moden yang digayakannya mencetuskan nuansa stail yang mewah dan bersahaja. Kedua-dua busana rekaan Venus Couture benar-benar menyerlahkan auranya sebagai ratu sehari.
BACA JUGA: Gaya Anggun Puteri Aishah Dalam Rekaan RIZMAN RUZAINI Untuk Majlis Perkahwinannya
Busana pertama iaitu gaun kembang dengan olahan leher tinggi dengan bahu gelembung berlengan panjang penuh renda memercik nilai kemewahan yang agung. Gaya ini disudahi dengan layah panjang meleret memberikan elemen dramatik nan elegan.
BACA JUGA: Mempesona, Cantiknya Busana Songket Biru UQASHA SENROSE Rekaan RIZMAN RUZAINI
Untuk busana moden yang kedua dia memilih menggayakan gaun kemban potongan duyung dan disertakan bersama layah pendek. Gaya ini mencetuskan rasa yang lebih relaks dan juga harmoni. Sebagai individu yang berdarah India, semestinya busana tradisi turun-temurun tidak dilupakan. Veena dilihat anggun menggayakan lehenga berona merah penuh perincian lengkap aksesori sarat dan selendang bersulam benang emas.
Selamat pengantin baru editorial Remaja ucapkan kepada pasangan sama cantik dan sama padan bagai pinang dibelah dua ini.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Veena Praveenar