Tabiat menyimpan makanan dalam peti ais sudah menjadi sebati dengan kita. Sejak kecil kita dah praktikkan perkara ini.
Memang bagus tidak membazir makanan namun korang tahu tak ada banyak perkara yang kita mungkin lakukan ketika mengurus makanan yang mengundang kepada bahaya atau pencemaran makanan. Malah, sesetengahnya dianggap ‘biasa’ tanpa menyedari ianya merupakan tabiat yang perlu diubah.
Baru-baru ini, sembilan orang dari ahli keluarga yang sama telah meninggal dunia setelah makan mi jagung yang ditinggalkan selama setahun di dalam peti sejuk. Mereka mengalami keracunan makanan setelah makan hidangan mi buatan sendiri yang disebut Suantangzi, makanan Cina tempatan yang terkenal pada 5 Oktober lalu.
Berasal dari bandar Jixi, wilayah timur laut China, Heilongjiang, tujuh orang dewasa disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober diikuti kematian kelapan dua hari kemudian.
Dipercayai anggota keluarga terakhir yang memakan sup itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Li, turut meninggal dunia pada hari Isnin berikutnya. Namun tiga kanak-kanak daripada keluarga itu telah terselamat apabila memilih untuk tidak memakan mi tersebut kerana rasanya yang kurang enak.
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa mi yang diperbuat dari tepung jagung itu telah terperam selama setahun lalu mengakibatkan mi tercemar dengan asid bongkrek.
Pengarah keselamatan makanan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Heilongjiang, Gao Fei, memberitahu China News Service bahawa keracunan asid bongkrek seringkali membawa maut.
Menurut Gao, gejala keracunan bongkrek biasanya akan bermula dalam beberapa jam setelah makan makanan yang tercemar termasuklah sakit perut, berpeluh, kelemahan genera dan akhirnya koma. Kematian boleh berlaku dalam masa 24 jam setelah keracunan.
“Asid bongkrek boleh menyebabkan kerosakkan serius pada organ manusia termasuk hati, ginjal, jantung, dan otak. Saat ini, tiada penawar khusus buat keracunan bongkrek kerana setelah keracunan, kadar kematian boleh mencapai 40 hingga 100 peratus.” jelas Gao.
Ingat, makanan lebihan tidak seharusnya disimpan melebihi 3 hari kerana kandungan nutrisinya boleh terjejas, terutamanya apabila peti sejuk korang terlalu padat dan mengandungi pelbagai jenis makanan.
Dah tahu ni, sama-samalah kita cuba elakkan tabiat ini demi kesihatan diri dan keluarga.
Jom amalkan cara penyimpanan yang betul!