Fesyen

Baju Melayu ‘Transparent’ Sesuai Untuk Cuaca Malaysia, ARMA COUTURE Boleh ‘Alter’ Jika Pemakai Tidak Selesa Seksi

Share

Setelah tujuh tahun tidak mengadakan pertunjukan fesyen lebaran, Wan Armatajali Abdul Rahman atau lebih mesra dengan dengan panggilan Arma kembali dengan pertunjukan Arma Couture terbaru dengan 30 helaian persalinan luxe baharu untuk ditempah oleh orang ramai.

Menariknya kali ini, Arma bukan sekadar mempersembahkan rekaan wanita tetapi juga buat pemakai lelaki dengan rekaan Baju Melayu yang diperbuat daripada fabrik chiffon telus pandang atau transparent.

Kelainan yang dilakukan itu bagaimanapun bukan untuk mencetuskan kontroversi. Sebaliknya sewaktu ditemui baru-baru ini, Arma berkata rekaan baju transparent seperti ini sememangnya dipakai olehnya sendiri untuk sambutan Aidilfitri setiap tahun.

“Untuk pertunjukan fesyen, saya perlu lakukan sesuatu yang berlainan. Kalau setakat Baju Melayu, di pasaran sudah banyak. Kalau Baju Melayu sedia ada itu, bosankan? Maksudnya, apa beza baju Arma dengan Baju Melayu yang lain?

“Sebagai seorang pereka fesyen, saya perlu gabungkan fesyen, perincian dan identiti berbeza dengan jenama lain.

“Bagi saya, pemakai Baju Melayu Arma Couture ini adalah seseorang yang berani untuk berfesyen. Fesyen ini ada peminat-peminat dan follower tertentu.

“Sebenarnya, Baju Melayu begini saya sudah pakai lama. Kawan-kawan seindustri seperti jurusolek dan mereka yang bekerja di belakang tabir pun sudah lama meminta saya keluarkan koleksi sebegini,” katanya.

Apabila sesuatu yang baharu cuba dijual di pasaran seperti rekaan Baju Melayu Arma Couture ini, tentunya akan ada yang sukar  menerimanya secara serta-merta kerana perubahan yang dilakukan terhadap pakaian tradisi.

Namun menurut Arma, beliau merasakan perubahan ini masih tidak ‘berbaur lucah’ atau tidak senonoh pada pandangan mata pemerhati.

“Mungkin disebabkan pencahayaan pada malam ini yang membuatkan Baju Melayu itu kelihatan see-through. Walaupun ia see-through, saya rasa saya tidak ‘melucahkan’ (baju tradisi). Cuma inovasi penggunaan material iaitu chiffon untuk Baju Melayu yang membuatkannya berbeza.

“Saya tidak nafikan di luar sana, ada jenama yang ‘melacurkan’ Baju Melayu. Koleksi Arma Couture ini pula masih lagi terjaga kerana ada penggunaan sampin, mengekalkan siluet longgar Baju Melayu dan perletakan bunga tabur,” ulasnya lagi.

Mengakui tidak semua lelaki di Malaysia yang berani untuk memperagakan Baju Melayu seperti ini, Arma berkata beliau masih menyediakan alternatif terbaik untuk si pemakai seperti menyediakan lapisan ‘lining’ di bahagian dalam Baju Melayu ini.

“Sekiranya pemakai tidak selesa untuk memperagakan tubuhnya atau merasa ia sedikit seksi, mereka boleh sahaja memakai singlet dan baju T di bahagian dalam. Mereka pun boleh request untuk ada lining.

Untuk si pemakai, terpulang. Tepuk dada, tanya ukuran pinggang!” simpul Arma.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ