Berita

Bakal Bergelar Hafiz Al-Quran, Fatin Afeefa Sebak Hantar Putera Sulung Ke Sekolah Tahfiz

Share

Pelakon, Fatin Afeefa tidak dapat menahan sebak ketika menghantar putera sulungnya, Adam Aisy Arrian, ke sebuah institut pendidikan agama untuk mempelajari dan mendalami al-Quran.

Detik penuh emosi itu dirakam dan dimuat naik oleh pusat pengajian tahfiz tersebut di laman TikTok. Video tersebut menunjukkan Adam, anak sulung Fatin Afeefa, yang sedang membaca lafaz janji di hadapan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Fatin Afeefa Undur Diri Dari Industri, Hormat Permintaan Suami

Dalam lafaz tersebut, Adam berjanji untuk berusaha menghabiskan hafalan al-Quran dalam tempoh satu tahun dan berharap perjalanannya menjadi seorang hafiz dipermudahkan.

Bagaimanapun, sebaik saja Adam mengucapkan lafaz tersebut, Fatin Afeefa dan suaminya, Aliff Awang yang lebih dikenali sebagai Opai, tidak dapat menahan air mata.

“Ia adalah tangisan penuh makna, lahir dari lubuk hati seorang ibu dan ayah di dunia realiti, saat menghantar anak mereka ke tahfiz. Perjuangan kini bermula. Beruntunglah ibu bapanya dikurniakan anak yang berada di jalan menghafal Quran.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Sulung Aidid Marcello & Norzie Pak Wan Chek Kini Bergelar Hafiz Al-Quran -“Hebat Hasil Didikan Seorang Ayah & Ibu..”

“Tahniah Puan Fatin Afeefa dan suami kerana telah memilih untuk berada dalam perjuangan ini bersama anak. Moga Allah permudahkan langkah mereka,” tulis Akademi al-Quran Akmal di ruangan kapsyen video tersebut.

Pemerhatian Remaja mendapati, rata-rata netizen yang menonton video tersebut terharu dan kagum dengan usaha pasangan suami isteri ini yang begitu bersungguh-sungguh mendidik anak mereka untuk menjadi insan yang dapat berbakti kepada agama.

Selain itu, ramai juga yang mendoakan agar urusan anak soleh itu untuk menjadi seorang hafiz al-Quran dipermudahkan dan diberi kekuatan dalam menempuh segala dugaan.

Sekadar info, Fatin Afeefa mendirikan rumah tangga dengan Aliff Awang pada Disember 2022 dalam sebuah majlis tertutup di Subang Jaya. Sebelum itu, Fatin pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun mereka bercerai pada 30 Mei 2017.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: TikTok Akademi Akmal

Published by
Fath