
Gantung The Series pernah mencipta fenomena apabila kemunculan siri ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada bukan hanya peminat di Malaysia, malah ia juga turut menjadi bualan di negara jiran, Indonesia.
Gibbs, Ray, KJ dan Troll adalah geng Musketeer yang berjaya menambat hati penonton dan seterusnya membuatkan peminat ternanti-nanti akan kesinambungan siri yang diadapatasi daripada novel best seller hasil nukilan Nadia Khan.
Remaja sempat menemubual Nadia kerana melihat wanita ini gigih mempromosikan crowdfunding Gantung The Movie di laman media sosialnya.
“Sejujurnya saya agak kecewa dan hampir berputus asa kerana sudah terlalu lama niat untuk meneruskan pembikinan bagi Gantung The Movie tertangguh disebabkan tidak mempunyai dana yang mencukupi. Setelah berbincang dengan pelbagai pihak produksi dan stesen televisyen, namun hasilnya masih menghampakan,”
“Sehinggalah hujung tahun lalu, saya mendapat idea untuk membuat crowfunding bagi merealisasikan Gantung The Movie pada tahun 2020. Dan pada 25 Januari yang lepas, setelah berbincang dengan para pelakon dan beberapa orang kru, crowfunding Gantung The Movie sudah pun dilancarkan. Alhamdulillah setakat ini kami berjaya mengumpul RM20,000,” jelas Nadia.
Bagi korang yang ingin menyumbang, ada beberapa pakej yang ditawarkan termasuklah seperti yang dikongsi dalam laman twitternya.
Pakej 1 & 2
Pakej 3
Pakej 4
Pakej 5
Pakej akan datang
Okay ada banyak cara untuk korang contribute dalam Gantung The Movie ni sebenarnya. Menurut Nadia lagi, mereka memerlukan sekitar RM250 ribu hingga RM300 ribu untuk menjayakan siri terbaru Gantung.
“Kami akan mula menjalankan penggambaran sekitar Ogos nanti dan insyaAllah barisan pelakon lama masih akan dikekalkan. Gantung The Movie ini juga akan ditayangkan di YouTube kerana kami ingin semua orang boleh menonton secara tidak terhad,” tambahnya lagi.
Good luck kami ucapkan buat Nadia dan team produksinya. Semoga impian mereka untuk merealisasikan Gantung The Movie akan terlaksana.
Jauhi 10 Perkara Ini Ketika Petir! Malaysia Negara Ke-3 Di Dunia Paling Banyak Ribut Petir

Kejadian pemain bola warganegara Myammar maut dan tiga cedera disambar kilat ketika bermain bola bukan perkara pertama terjadi di negara ini. Sudah banyak kejadian individu disambar petir ketika berada di atas padang. Tahun lalu, tiga orang peserta futsal LiSUS peringkat kebangsaan dipanah petir di Padang MSN Bukit Jalil ketika bertanding dalam kejohanan sukan itu November tahun lalu.
Memandangkan sekarang musim hujan dan ribut petir, ada perkara yang harus diberi perhatian dan amat penting untuk kita pelajari dan harus ketahui demi menjadi mangsa.

Baca perkongsian Jabatan Meteorologi Malaysia, MET Malaysia mengenai petir yang perlu kita tahu.
Ribut Petir yang ekstrem boleh terjadi dari awan komulunimbus (menurut Wikipedia ialah sejenis awan yang tinggi, padat dan terlibat dalam ribut petir dan cuaca sejuk dan lembap lain. Cumulonimbus {kumulonimbus) berasal daripada Bahasa Latin. Comulus “mengumpulkan” dan nimbus “hujan”. Ia disebabkan ketidakstabilan atmosfera. Awan kumulonimbus terbentuk daripada awan cumulus (dari cumulus congestus) dan seterusnya berkembang menjadi supersel, ribut petir kuat dengan ciri istimewa.
Lebih ketara sebenarnya, Malaysia berada di kedudukan tangga ke 3 negara paling banyak mengalami ribut petir ( pertama adalah Rwanda diikuti Congo. Malaysia menerima ribut petir dengan purata 190 hari kejadian dalam setahun)
Rekod Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) juga menunjukkan kawasan Subang di Selangor pernah mencatat kejadian petir tertinggi iaitu 362 hari sepanjang tahun 1987.


INFO
Ketika hujan lebat dan petir, perkara penting perlu diketahui bagi melindungi diri daripada disambar kilat.
# Tiada satu tempat di luar yang selamat jika ribut petir berlaku di kawasan berkenaan.
# Jika mendengar guruh di langit, ketahuilah kilat atau petir adalah cukup dekat untuk menyambar anda.
# Apabila mendengar guruh, segera beralih ke tempat perlindungan lebih selamat.
# Contoh tempat berlindung yang selamat adalah bangunan besar atau di dalam kenderaan bertutup dan berbumbung besi.
# Tunggu di tempat perlindungan selamat itu sekurang-kurangnya 30 minit selepas anda mendengar guruh terakhir.
Tip keselamatan ketika berada di dalam bangunan
# Jauhi kabel telefon, komputer dan peralatan elektrik lain yang akan meletakkan anda dalam hubungan secara langsung dengan elektrik.
# Jauhi paip tembaga atau besi, termasuk sinki, tab mandi dan kepala paip.
# Jauhi tingkap dan pintu atau berehat di luar anjung.
# Jangan berbaring di atas lantai konkrit atau bersandar pada dinding konkrit.
Jika terperangkap di luar, langkah ini boleh mengurangkan risiko dipanah petir.
# Segera turun dari kawasan tinggi seperti bukit, rabung atau puncak gunung
# Jangan berbaring di atas tanah
# Jangan menggunakan pokok sebagai tempat berlindung
# Jangan menggunakan tebing atau kawasan berbatu untuk berlindung
# Segera keluar dan jauhi kolam, tasik dan takungan air
# Jauhi objek yang boleh mengalirkan elektrik (pagar kawat berduri, talian elektrik atau telefon dan lain-lain.)
Jika seseorang dipanah petir:
# Jangan bimbang, mangsa tidak membawa sebarang cas elektrik, malahan mangsa mungkin memerlukan perubatan dan perhatian segera.
# Awasi keadaan mangsa dan mulakan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), jika perlu.
# Hubungi talian 999 untuk bantuan
Sumber info : Berita Harian
Terlalu Extreme, 265 Pelajar & 39 Anggota Polis Cedera Tunjuk Perasaan Tolak Undang-Undang Di Indonesia

Semua dah tahu tentang tunjuk perasaan mahasiswa di Indonesia baru-baru ni yang penuh dengan kontroversi itu . Hari ini masuk hari ke tiga demontrasi bagi membantah undang-undang baharu termasuk kanun keseksaan jenayah yang akan memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan zina dan menghina presiden itu berlaku.
Namun, tindakan mahasiswa membuat demontrasi itu agak extreme dan melampau. Ia turut diadakan di bandar lain seperti Yogyakarta di Jawa Tengah dan Makassar di Pulau Sulawesi untuk menolak rang undang-undang (RUU) tersebut.
Semalam polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan tunjuk perasaan yang tercetus di Jakarta dan bandar lain.
Membawa Bom Petrol
Dan hari ini pula, Ketua Polis Jakarta, Gatot Eddy Pramono berkata, seramai 265 pelajar dan 39 anggota polis cedera. Seramai 94 orang pula ditahan di Jakarta semasa rusuhan bersambung hingga malam dan segelintir mereka ditahan membawa bom petrol.
Pramono berkata, polis sedang menyiasat peranan kumpulan bukan pelajar dalam tunjuk perasaan itu, namun enggan memberi maklumat lanjut.
“Jika dibuktikan mereka penyebab kerosakan sama ada kereta, pagar, orang awam dan pasukan keselamatan, kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka dan memulakan proses undang-undang,” katanya yang merujuk kerosakan pagar di sekitar parlimen.
Jumaat lalu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi menangguhkan undian terhadap rang undang-undang kontroversi terbabit. Beliau turut memaklumkan 14 artikel masih perlu disemak sebelum dibahaskan Parlimen yang akan memulakan penggal baharu pada bulan depan.
Pengkritik mendakwa RUU tersebut melanggar kebebasan bersuara dan mendiskriminasikan agama minoriti, wanita serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bagaimanapun, kumpulan terbesar Muslim di negara itu, Nahdlatul Ulama melihat perubahan itu mencerminkan karakter dan personaliti rakyat serta negara Indonesia yang majoriti penduduknya adalah orang Islam.
Semakan semula terhadap kod jenayah negara itu yang tidak pernah dikemaskini sejak penubuhannya ketika era penjajahan Belanda juga mengenakan penalti terhadap pihak yang menghina maruah presiden, empat tahun penjara atas kesalahan menggugurkan kandungan dengan sengaja dan hukuman penjara jika melakukan ilmu hitam.
Apa pun Remaja harap isu ini dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan Indonesia, kita doa yang baik-baik jela untuk saudara dan negara jiran kita ini.
Sumber : Berita Harian
BENDERA Lambang Kedaulatan Negara, Ini Rusuhan Pernah Berlaku Bila Bendera Dipermainkan

Apa ada di sebalik bendera yang mampu mencetuskan hura-hara di sesebuah negara? Bagi yang bermaruah dan menganggap negara yang didudukinya adalah tempat perlu dipertahankan, bila bendera yang menjadi simbol kedaulatan diinjak-injak, sudah tentu semangat untuk mempertahankannya akan timbul.
Sejak sehari dua ini, tular di media sosial insiden bendera dipasang terbalik. Ada mengaitkannya dengan unsur komunis dan tak kurang juga menganggap ia satu perbuatan protes. Seakan penyakit berjangkit atau senang disebut wabak, satu demi satu insiden bendera terbalik dipaparkan di media sosial.
Apa perasaan bila membaca insiden bendera terbalik ini? Sengaja atau memang tersilap memasangnya?


Sebelum pemikiran pergi lebih jauh perihal insiden bendera dipasang terbalik yang tular di media sosial, minggu lalu ribuan etnik Papua salah satu daerah di Indonesia digegarkan dengan insiden rusuhan besar-besaran di Kota Manokwari dan Jayaputra sebagai memprotes layanan dan penghinaan terhadap pelajar etnik Papua di Surabaya, Jawa Timur pada Jumaat 16 Ogos lepas.
Insiden bermula apabila sekumpulan pelajar etnik Papua dilaporkan membuang dan merosakkan bendera yang dipasang di Asrama Mahasiswa Papua di Surabaya, sebelum asrama itu dikepong pihak polis dan tentera serta masyarakat setempat.

Menurut media tempatan, demonstrasi itu pada mulanya berlangsung secara aman, sebelum beberapa pihak bertindak agresif dengan membakar pejabat Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Papua Barat dan premis- premis perniagaan dan kemudahan awam. Malah memaksa Presiden Indonesia, Jokowi meminta maaf dan menyeru keamanan dikembalikan di Papua.
Pelajar Malaysia protes tindakan pijak bendera
Pada 26 Januari 2014 pula, pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun menzahirkan rasa kesal dengan sebahagian tindakan penyokong Datuk Seri Anwar yang memijak bendera negara berkenaan sebagai membalas tindakan Jepun menghalang Anwar memasuki negara itu kerana pernah disabitkan kes rasuah pada 1999 seperti yang terkandung dalam Perkara 5.1 Kawalan Imigresen Jepun dan Akta Pengiktirafan Pelarian.
Biar tiada tindakan balas dari penduduk Jepun yang dilihat matang menghadapi isu berkenaan, ia juga dilihat sebagai menjaga hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin.
8 Februari 2019 pula, Kerajaan Filipina mengakui akan mengambil tindakan terhadap individu atas nama Elly Pamatong yang mendakwa dirinya sebagai pengasas United States Allied Freedom Fighters of the East (USAFFE) di mana dia dilihat mengeluarkan kenyataan-kenyataan anti Malaysia sebelum bertindak membakar bendera Malaysia dan insiden ini tular di media sosial.

Ekoran itu, Kedutaan Filipina di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak berkuasa negara itu sedang menangani tindakan itu sewajarnya. Kedutaan tidak akan membiarkan insiden ini berlaku dan kami amat kecewa apabila kejadian ini telah mengecewakan rakyat Malaysia.
“Kedutaan turut menegaskan bahawa kami komited dalam membangunkan hubungan dua negara yang baik antara Filipina dan malaysia,” memetik kenyataan itu.
Pernah ingat bagaimana negara jiran Indonesia melancarkan protes apabila bendera negara mereka diletak terbalik dalam buku cenderamata ketika pembukaan Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 yang mendapat liputan meluas dari media Indonesia?.

Hal ini memaksa bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta maaf bukan saja pada seluruh rakyat Indonesia tetapi kepada rakan sejawatnya iaitu Imam Nahrawi yang meluahkan rasa kesalnya dengan insiden tersebut.
Sarjana turut menulis isu Jalur Gemilang ini
Carian REMAJA mengenai insiden bendera turut menemui tulisan Mohd Ayop Abd Razid yang berkelulusan Sarjana dalam bidang Sejarah dan Tamadun. Dalam satu tulisannya yang pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 29 Ogos 2017 dengan tajuk KENAKAN TINDAKAN TEGAS HINA JALUR GEMILANG. (Baca Sini )
Ketua Polis Johor pun dah beri amaran
Insiden bendera tidak habis bila mana semalam Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya memandang serius perkara bendera terbalik ini kerana memberi pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat.


Katanya, Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara dan tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
“Kebelakangan ini kami mengesan beberapa insiden membabitkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud tidak sewajarnya.
“Keadaan ini memberi persepsi pelbagai dalam kalangan masyarakat kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.
Menurutnya, pihak didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Katanya, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Ini pesan Yang Di Pertuan Agong untuk semua rakyat Malaysia
Sejujurnya, Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang aman damai kerana perpaduan kaumnya, keunikan adat, budaya serta keindahan muka bumi dan kedamaian yang dicapai selama ini. Jangan dirosakkan hanya kerana perbezaan politik, agama dan kelainan pendapat yang wujud sesama kita.
Seperti kata, DYMM Seri Paduka Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa hari perlantikannya di mana baginda menitahkan semua pihak agar jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.
Seri Paduka menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara.
“Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman,” titah Sultan Abdullah pada Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara di Kuala Lumpur yang lalu.
Jadi inilah NILAI SEBUAH BENDERA yang perlu kita fikir sedalam-dalamnya. Jika bendera adaalah MARUAH NEGARA, sanggupkah maruah kita dipermainkan? Tepuk dada tanya iman di dada!
Salam kemerdekaan ke 62 tahun. Tema tahun ini Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih!