Mungkin ramai tahu apa itu solat sunat dhuha (pembawa rezeki). Ramai juga yang tahu solat tahujud yang dibuat untuk ketenangan jiwa. Solat taubat dibuat untuk pembersihan dosa. Solat sunat istikharah untuk memberi jawapan kepada persoalan yang dalam persimpangan serta banyak lagi solat sunat lain seperti solat sunat sebelum dan selepas sembahayang (solat rawatib qabliyyah dan badi’yyah), solat hajat serta banyak lagi.
Pernah tak dengar solat sunat zifaf? Bagi yang tak berapa pasti, solat sunat zifaf adalah solat sunat mempelai yang dilakukan oleh pengantin yang telah selamat disatukan sebagai suami isteri.
Untuk bakal pengantin, selesai akad nikah buatlah solat sunat zifaf ini bersama isteri. Insya Allah kehidupan lebih bahagia. Tak susah mana pun melakukannya, hanya dua rakaat sahaja.
Dalam pada itu, di page fb Ustaz Azhar Idrus dalam bahagian soal jawap agama, ada bertanya apa itu solat sunat zifaf. Untuk penjelasan lebih lanjut, bacalah penerangan Ustaz Azhar Idrus mengenainya.
Soalan : Saya hendak tahu apakah dia yang dinamakan solat sunat zifaf itu ustaz?
Jawapan :-
Solat sunat zifaf yang tuan bertanyakan itu ialah yang dinamakan solat sunat mempelai artinya solat sunat yang dilakukan oleh pengantin selepas bernikah.
Ianya sunat dilakukan oleh kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan ketika ditemukan.
Diriwayatkan daripada Abu Said Maula Abu Usaid r.a. berkata bahawa para sahabat Nabi yang dijemput ke majlis pernikahannya telah berkata :
إذا أدخل عليك أهلك فصل عليك ركعتين ثم سل الله تعالى من خير ما دخل عليك وتعوذ به من شره ثم شأنك وشأن أهلك
Artinya : “Apabila kamu bertemu dengan isterimu maka solatlah dua rakaat kemudian mintalah doa kepada Allah dari segala kebaikkan isterimu dan mintalah perlindungan dengan Allah dari keburukkannya kemudian hal kamu dengan isteri kamu.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Berkata Syeikh Nawawi Bintan :
ومنه ركعتا الزفاف تسن هذه الصلاة لكل من الزوج والزوجة ينوي بها سنة الزفاف .
Artinya : “Dan setengah dari solat-solat sunat itu ialah dua rakaat solat sunat zifaf. Disunatkan solat ni bagi setiap suami dan isteri yang berniat dengan solat itu akan sunat zifaf yaitu pengantin.” (Kitab Nihayah Az-Zain)
Berkata setengah ulamak solat sunat zifaf ini ialah solat sunat nikah manakala setengah ulamak berkata solat sunat nikah itu sunat dilakukan sebelum aqad manakala solat sunat zifaf ini selepas aqad dan ketika bertemu suami dan isteri.
wallahua’lam
Untuk pengetahuan korang, inilah bacaan solat sunat zifaf.
Pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti dengan surah al-Kafirun.
Bacaan untuk rakaat kedua, bacalah surah al-Fatihah dan diikuti surah al-Ikhlas.
Selesai memberi salam, buatlah sujud syukur tanda kita bersyuku dapat disatukan dengan pasangan dan mengharapkan kekal hingga ke akhir hayat.