Balasan Setimpal, Geng Basikal Yang Persenda OKU Dicari Polis

Share

 

Semalam, REMAJA ada melaporkan mengenai empat orang susupek yang berkelakuan biadap ketika menggunakan tandas yang dikhaskan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

ARTIKEL BERKAITAN : Lagi Kes Persenda OKU, Tular Video ‘Geng Basikal’ Masuk Tandas Khas OKU – REMAJA

Video yang tular di TikTok itu menunjukkan bagaimana dua orang wanita dan dua orang lelaki dalam persalinan penunggang basikal mempersendakan golongan OKU sambil sakan bergelak tawa setelah salah seorang mengajuk gaya insan OKU di hadapan pintu tandas.

Perbuatan tersebut telah menerima kecaman daripada rakyat Malaysia termasuklah selebriti berpengaruh seperti Senator Ras Adiba yang mendesak agar suspek dalam video tersebut membuat permohonan maaf terbuka kepada golongan OKU.

Well guys, nampaknya kelakuan mereka ini akan menerima balasan setimpal setelah pihak polis mengesahkan sedang mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam video ini DAN dalam sebuah lagi video tular di parkir kenderaan Mid Valley Megamall yang juga mempersendakan golongan OKU pada minggu ini.

Pada waktu yang sama, suspek dalam kedua-dua video itu juga jelas menyalahgunakan harta benda awam yang dikhaskan untuk golongan OKU.

Kata Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, aduan telah diterima oleh pihaknya setelah pengadu menonton dua klip video yang dimuat naik di TikTok itu.

Khabarnya, aduan diterima oleh pengadu yang berada di bangunan Parlimen. Tidak mustahil aduan itu telah dibuat oleh Senator Ras Adiba sendiri.

Ulas Beh Eng Lai, “Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar,” katanya.

Demi membantu siasatan, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek dalam dua video tular ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2206.

Ingat, nak bergurau pun perlu lihat tempat dan masanya. Bukan semua perkara boleh dijadikan bahan jenaka.

SUMBER : (1)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ