Balik Ke Kampung

Share

Apabila orang Islam mula sahaja menyambut Ramadan al-Mubarak, orang ramai mula berbicara tentang rentas negeri. Persoalan yang berlegar dalam minda mereka ialah adakah pada tahun ini mereka dibenarkan untuk balik ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama-sama saudara-mara di kampung? Dengan berdasarkan data pesakit baharu yang dijangkiti COVID-19 pada setiap hari sekarang ini, kerajaan tidak mungkin akan memberikan kebenaran untuk umat Islam merentas negeri.

Hal ini menyebabkan mereka terlalu sensitif apabila mendengar lagu Balik Kampung yang dipopularkan oleh Allayarham Sudirman Haji Arshad berkumandang di aplikasi WhatsApp yang dipanjangkan oleh pengguna atau pemilik telefon bimbit.

Sebenarnya, betapa mereka berasa sensitif akan lagu itu, banyak juga pencipta bahasa amat sensitif akan kesalahan bahasa yang terdapat dalam lirik lagu tersebut. Jika kita meneliti sebahagian daripada lirik lagu tersebut, kita akan dapat menyedari sesuatu yang tidak kena yang terdapat dalam lirik tersebut jika kita memiliki ilmu tentang tatabahasa. Mari kita teliti lirik yang di bawah ini sambil bernyanyi.


.

Ho-ho-ho …
Balik kampung!
Ho-ho-ho …
Balik kampung!
Ho-ho-ho …
Balik kampung!
Hati girang!

Dalam lirik lagu tersebut, terdapat satu frasa kerja yang diulang sebanyak tiga kali, iaitu balik kampung. Yang peliknya ialah bahagian yang salah tersebut menjadi daya penarik kemasyhuran atau kekuatan lagu ini. Frasa seperti ini sering diulang-ulang oleh kanak-kanak atau penggemar lagu ini tanpa perlu mereka menyanyikan lagu ini secara keseluruhannya.

Kemasyhuran atau populariti lagu ini sudah pasti memberikan kesan terhadap pihak DBP untuk memperkembang penggunaan bahasa yang betul dalam kalangan rakyat. Situasi ini merupakan masalah besar kepada DBP untuk memajukan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Dalam situasi ini, faktor populariti atau sedap didengar telah berjaya menarik perhatian pendengar untuk menerima bahasa yang salah. Faktor inilah merupakan halangan terbesar pihak DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara kita.

Faktor yang kedua ialah sikap masyarakat terhadap elemen simplikasi, iaitu mereka gemar untuk memudahkan sesuatu. Hal ini menyebabkan mereka membuang sesuatu seperti menggugurkan kata sendi nama supaya mereka dapat menimbulkan kesedapan dalam lagu atau perbualan walaupun mereka menyedari cara tersebut salah. Banyak kesalahan penggunaan bahasa yang berkaitan dengan frasa kerja seperti ini yang digunakan dalam kalangan masyarakat seperti:

pergi masjid sepatutnya pergi ke masjid
pergi surau sepatutnya pergi ke surau
balik rumah sepatutnya balik ke rumah
pulang desa sepatutnya pulang ke desa

Yang betul belum pasti sedap,
Yang sedap belum pasti betul,

Dalam hal ini, kita perlu mematuhi peraturan. Namun demikian, peraturan memang sukar dipatuhi. Kebanyakan orang akan mematuhi peraturan jika ada penguatkuasaan dan hukuman. Untuk memastikan peraturan diikuti dan dipatuhi, tindakan penguatkuasaan dan hukuman perlu dilaksanakan. Malangnya, elemen ini tiada dalam pelaksanaan bahasa di negara kita walaupun bahasa kita tercatat dalam perlembagaan negara bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus.

Published by
Penulis Jemputan