‘Ballgown’ Organza Memukau! Terlalu Berat Hingga Ernie Zakri Terpaksa Berjalan Pakai Sneakers Sahaja

Share

Dalam mana-mana perhubungan, sudah menjadi norma ada pasang surutnya.

Namun dalam perhubungan di antara penyanyi, Ernie Zakri dengan pasangan pereka fesyen duo, AMAZÉ; tidak keterlaluan sekiranya REMAJA berpendapat hubungan profesional yang terjalin di antara dua nama besar itu tidak pernah redup dari nilai estetika.

Bahkan, setiap kali Ernie memilih untuk menyarungkan persalinan AMAZÉ pastinya beliau ‘dijamin’ untuk tampil original dan tentunya, jelita.

Setelah ‘terlepas peluang’ untuk melakukan persembahan di Anugerah Juara Lagu 36 pada tahun lalu dek masih berada dalam fasa berpantang, Ernie Zakri semalam melakukan comeback

di pentas nyanyian berpretstij itu menerusi lagu taruhan, Korban.
Ernie Zakri. FOTO : Instagram Sahir Sabri

Momen tersebut pastinya akan tersemat dalam diari momen istimewanya memandangkan Korban merupakan lagu hasil ciptaannya sendiri.

Tambah istimewa apabila Ernie sekali lagi berpeluang untuk tampil dalam persalinan ciptaan AMAZÉ semalam yang dinamakan sebagai WANA.

Khabarnya, ballgown ini dihasilkan daripada kain organza sepanjang 80 meter! Ia terlalu berat untuk diusung oleh Ernie seorangan sehingga memerlukan sepasukan khas bagi membawanya ke tengah pentas.

Fun Fact! Ernie juga sekadar memakai kasut sneakers sahaja di bawah gaun ini kerana, well, 1) Tak nampak pun dan 2) Bagi memberi keselesaan kepada Ernie.

Kongsi pereka fesyen tersebut di media sosial, penampilan kali ini cukup puitis seiring dengan bait lagu tersebut.

FOTO: Instagram AMAZÉ

Pada bahagian atasnya, ballgown ini menampilkan bahagian bodice hitam yang dibentuk daripada korset berstruktur cekung. Biarpun tampak minimal namun ia sarat teknikaliti agar ia cantik ‘terletak’ pada tubuh Ernie.

Beralih kepada bahagian bawah serba dramatiknya pula, AMAZÉ memberi gambaran bahawa inspirasi timbul daripada lukisan The Starry Night nukilan Vincent van Gogh. Cumanya kali ini, rona putih, kelabu dan merah yang dijelmakan.

Lukisan The Starry Night oleh Vincent van Gogh.
FOTO: Instagram AMAZÉ

“Pusaran rona monokromatik hitam putih juga merah mewakili liku kehidupan.

“Tetap ada manisnya, walau dibaur derita. Cinta hadir dalam segenap bentuk dan bersilih gant namun tidak akan pernah terhenti.

“Lapisan organza dari tujuh rona diseliratkan dan dijahit satu persatu membentuk pusaran multiwarna,” catat mereka.

Sambil itu, Ernie ditata rias oleh Sahir Sabri manakala gaya hijabnya pula oleh Naz Living Style.

Biarpun pulang tanpa menggarap sebarang trofi kemenangan di AJL 37, Ernie Zakri masih berjaya memuaskan hati kesemua peminat serta penonton dengan persembahan mantapnya pada kali ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ