Seorang banduan yang menjadi individu pertama memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa menjalani hukuman penjara, Murad (bukan nama sebenar), telah diberikan pengampunan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Hari Keputeraan baginda pada Rabu.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan bahawa Murad, yang memiliki PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, telah menjalani hukuman sejak tahun 2001 pada usia 14 tahun sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
“Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara,” kata jabatan tersebut dalam perkongsian di laman Facebook rasmi pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Penaja Baju Lee Zii Jia Mohon Maaf Isu Bendera Malaysia Terbalik, Dakwa Tidak Disengajakan
Waran pembebasan Murad dibacakan oleh Pengarah Penjara Kajang, Preshahdin Monshee. Dalam sesi pembebasan tersebut, Preshahdin memberi nasihat kepada Murad agar sentiasa mengamalkan disiplin dan menggunakan ilmu yang dimilikinya untuk memajukan diri.
Pihak jabatan turut menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan kepada Murad jika diperlukan.
ARTIKEL BERKIATAN: Faisal Halim Dianugerahkan Darjah Kebesaran Ahli, Sultan Selangor Pesan Untuk Terus Menjadi Pemain Bola Sepak
Murad, yang turut hadir dalam sesi tersebut, melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas pengampunan yang diberikan. Dia juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara yang memberi peluang kepadanya untuk meneruskan pengajian sehingga memperoleh ijazah PhD.
“Saya akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan saya percaya dengan peranan mereka dalam memulihkan prospek sepertinya, untuk kembali menjadi individu yang lebih sempurna,” ujar Murad penuh berterima kasih.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama & FB Jabatan Penjara Malaysia