Ketika industri perfileman seluruh dunia terpaksa menghentikan sebentar momentum mereka dalam melancarkan naskah baharu, sebuah filem arahan dan terbitan anak tempatan kita ini berjaya untuk mengharumkan nama negara.
Pengarah, Edmund Yeo muncul dengan filem berjudul Malu yang akan mula ditayangkan pada 13 November ini.
Dan sekiranya korang cuba untuk mencari tiket secara online di pawagam Malaysia – emm – tunggu dulu. Ini kerana filem tersebut bukan ditayangkan di sini tetapi di Jepun sempena Festival Filem Tokyo!
WHOA.
“Saya tidak sabar untuk kembali semula ke Festival Filem Tokyo. Ia merupakan acara yang mempunyai sejarah yang hebat dan saya telah menghadirinya sejak bergelar pelajar universiti lagi. Ia berbeza dengan festival lain kerana filem-filem yang ditayangkan di sana banyak membantu saya ‘berkembang’ sebagai seorang pembuat filem tempatan.
“Malu adalah sebuah filem berbajet sederhana, yang dibuat dengan kasih dan sayang. Para pelakon dan kru produksi banyak berkorban demi merealisasikan projek ini dan kami berbangga apabila ia ditayangkan juga walaupun dalam musim pandemik,” katanya.
Seperti judul filem ini, elemen perasaan malu itu menjadi tonggak jaan cerita terutamanya di kalangan watak yang ditonjolkan. Kata Yeo, ia berkait rapat dengan malu terhadap masa silam, terhadap kekurangan diri sendiri untuk berkomunkasi, malu dengan kesedihan hidup dan sebagainya.
Bagaimanapun, untuk tayangan di Jepun dan kelak di China, tajuk Malu tersebut akan ditukar kepada A Day Without Horses (Jepun) dan Road of Dreams (China).
Tambah Yeo lagi, Malu terhasil daripada kolaborasi di antara dirinya dengan seorang pelakon wanita bernama MayJune Tan. Jika sebelum ini dia hanya bergelar pelakon dalam projek Yeo, kali ini dia mencuba untuk menerbitkan filem ini dari belakang tabir.
Hasilnya, Malu mengambil ilham daripada pengalaman Yeo dan MayJune sendiri.
Secara ringkas, Malu menceritakan tentang kehidupan 2 beradik perempuang bernama Hong dan Lan. Mereka terpisah setelah nenek mereka menculik Hong demi memeliharanya daripada jagaan ibu mereka yang hanya merosakkan kehidupan anak-anaknya.
Menarik bukan!
Sayangnya, filem-filem arahan Yeo sebelum ini tidak ditayangkan di pawagam negara kelahiranya sendiri, Malaysia. Malu juga menerima nasib yang sama.
Bagaimanapun, mereka sedang berbincang untuk menayangkannya di platform strim, MUBI agar peminat filem tempatan boleh menontonnya dari rumah.
Sebelum itu, jom tonton klip acah filem Malu.