Hiburan

Bangkit Dengan Lagu Tamil! Zubir Khan Pernah Sedih Sukar Dapat Kerja Sebab Tiada Tangan

Share

Penyanyi dan komposer yang popular dengan lagu Tamil, Zubir Khan berkongsi kisah di mana dia pernah menangis teruk kerana sukar mendapat kerja disebabkan kekurangan dirinya yang tidak mempunyai tangan kiri akibat termasuk ke dalam mesin kek sewaktu berumur empat tahun.

Zubir atau nama penuh Muhammad Zubir Mohamad Ali berkata,  dia juga mahu bekerja dan berdikari selepas selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana berhasrat untuk memberi wang kepada ibu bapanya hasil daripada titik peluh sendiri.

Kredit: Instagram Zubir Khan

“Selepas SPM, walaupun saya anak bongsu yang manja, namun ibu bapa dan keluarga tak pernah paksa saya untuk belajar atau bekerja. Mereka beri kelonggaran untuk saya melakukan apa yang disukai dan saya rasa sangat okay”

“Saya juga tertarik dan berniat nak bagi duit kepada ibu bapa. Tak kisahlah sama ada  keluarga kita ada bisnes ke apa, tapi saya nak bagi ibu bapa duit daripada hasil titik peluh sendiri”

“Jadi, saya pergi minta kerja dan mereka kata saya tak ada tangan. Kalau barang itu jatuh, siapa nak bayar. Mereka macam kutuk saya. Apabila balik rumah, saya menangis dan minta doa kepada Allah untuk diberi jalan keluar,” katanya

Pelantun Yennode Macha yang ditemui Harian Metro berkata, dia bersyukur apabila seorang sahabat yang berbangsa India datang berjumpa dan kerap memberikan semangat kepadanya supaya tidak bersedih.

“Kawan saya cakap jangan terus bersedih sebab tiada kerja sebab kamu boleh nyanyi. Cubalah menyanyi dan ‘post’ di TikTok ke, YouTube, mana tahu orang suka. Rakan itu beri saya jalan dan saya buat”

Kredit: Instagram Zubir Khan

“Suatu hari, saya viral di Facebook sebab ada repost video saya dari TikTok. Jadi, saya fikir itu ‘jalan keluar’ yang Allah beri, di mana kejayaan saya dalam industri lagu. Ini seni awak dan pergilah dalam bidang itu”

Sejak itu, Zubir tidak melepaskan peluang dan terus berusaha sehingga namanya diakui oleh dalam industri muzik. 

Dalam pada itu, Zubir juga turut berkongsi kisah bagaimana dia reda dengan takdir hidupnya dan sekaligus tidak berasa kekurangan tangan itu menghalang dirinya bangkit untuk meraih kejayaan seperti hari ini.

“20 tahun lepas, ketika umur empat tahun, tangan saya masuk dalam mesin kek. Ayah saya ada kilang roti dan tangan saya masuk mesin kek. Saya degil masa itu, nangis-nagis nak ikut ayah dan akhirnya ayah terpaksalah bawa saya (ke kilang). Saya main-main dan saya masuk tangan dalam mesin (kek)”

Kejayaan Zubir pada hari ini membuktikan walaupun tiada sebelah tangan, tidak bermakna individu sepertinya tidak boleh menunggang motosikal dan memandu kereta atau melakukan apa saja yang orang lain pandang rendah terhadap dirinya.

Kredit: Instagram Zubir Khan

Sehingga kini, Zubir telah menghasilkan tujuh lagu Tamil ciptaan dan lirik ditulisnya sendiri sejak 2019, Zubir berkata, kunci kejayaannya kini adalah dia tidak malu belajar dan suka mempelbagaikan kemahiran bahasa.

Antara lagu Zubir Khan yang popular di YouTube adalah seperti Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire, Soga Kathai, Per Yenne Solle, Yennode Macha dan terbaharu, OMK (Oh My Khadhale) duet bersama Ezra Kairo.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE