Selain Malaysia, Bangladesh merupakan sebuah negara yang meletakkan perkataan yang memberi indikasi kepada pemegang pasport bahawa rakyatnya tidak dibenarkan ke Israel. Jika di passport Malaysia tertulis, ‘Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali Israel’, di pasport Bangladesh pula tertulis ‘This passport is valid for all countries in the world except Israel’.
Tindakan kerajaan Bangladesh yang menggugurkan perkataan ‘except Israel’ itu mengundang reaksi pelbagai pihak. Kerajaan Israel melihat perkara tersebut sebagai satu perkara positif yang mana tiada lagi larangan perjalanan untuk rakyat Bangladesh ke Israel.
Walaupun begitu, Kerajaan Bangladesh dengan segera memberi pencerahan bahawa keputusan untuk menggugurkan perkataan ‘except Israel’ tersebut tidak mengubah pandangan negara itu terhadap Israel kerana mereka masih lagi tidak mengiktiraf negara haram tersebut.
Dalam laporan India Today, menurut Menteri Luar Bangladesh, Dr AK Abdul Momen, “Kami mengambil keputusan untuk menggugurkan perkataan ‘except Israel’ dari pasport enam bulan lalu apabila e-pasport diperkenalkan. Ia bertujuan untuk penyelarasan passport negara ini. Polisi luar kami terhadap Israel masih lagi sama. Kami tidak akan membuat sebarang hubungan dengan Israel. Kami menyokong perjuangan rakyat Palestin dan kami juga menyokong penyelesaian dua negeri. Jadi, polisi luar kami kekal tidak berubah.”
Great news! #Bangladesh has removed travel ban to Israel. This is a welcome step & I call on the Bangladeshi government to move forward and establish diplomatic ties with #Israel so both our peoples could benefit & prosper.@IsraelMFA #IsraelLooksEast https://t.co/LbOLbm9dfG
— Gilad Cohen 🇮🇱 (@GiladCohen_) May 22, 2021
Dalam pada itu, Menteri Luar Israel dalam ciapan di Twitternya menyatakan bahawa pengguguran perkataan tersebut merupakan satu langkah ke hadapan untuk membentuk hubungan diplomatik supaya kedua-dua rakyat negara tersebut memperoleh faedah dan sejahtera.
Sumber: India Today