“Bangun Dari Tidur Lelaki Ini Mengadu Sakit Belakang”, Akhirnya Dia Hidup Tanpa Tempurung Kepala…

Share

Awas jika bangun dari tidur dan terasa belakang badan terlalu sakit. Jika kita sangkakan itu  lenguh-lenguh badan dan hal biasa sahaja tetapi jangan tak tahu, tanda sakit belakang  awal dialaminya  sebahagian tanda “kelumpuhan” sedang berlaku.

Pada awalnya, dia  menyangka sakit dialami kerana terlalu penat  dan bekerja keras tetapi tanpa diduga, beberapa minit selepas dia meminta isterinya memicit bahagian yang sakit, dia terus jatuh pengsan.

Bila dibawa ke unit kecemasan hospital, doktor memaklumkan, dia baru terkena “strok” sebelah badan. Tubuhnya lumpuh sebelah. Malangnya, pembuluh darahnya sudah banyak pecah dan bahagian otaknya juga sudah terjejas hingga darah beku terbentuk di kepala. Hal ini memaksa doktor membuat satu keputusan untuk membuang sebahagian tempurung kepalanya demi menyelamatkan nyawanya dari terancam.

Inilah pengalaman yang dilalui oleh Rosley Mustapha, 50 yang dahulunya adalah seorang chef dan pakar dalam ukiran hiasan buah-buahan. Kerjanya memang banyak, tambah jika ada majlis diadakan di hotel tempatnya bekerja.

Rosley alami strok dan hanya mampu terlantar sejak 3 bulan lalu

Hari ini, sudah berbulan dia hidup tanpa tempurung kepala. Masa yang sama, otaknya masih bengkak sehingga membuat dia hanya mampu terbaring kaku di katil rumahnya.

“Abang tak ada tempurung kepala. Sebelah kanan sudah dipotong separuh ketika otaknya bengkak. Doktor memberi dua pilihan, potong atau membahayakan nyawa. Saya lebih fikirkan nyawa  dan terus bersetuju!

“Sejak dari pembedahan, abang terus terlantar  di katil kerana keadaannya belum lagi menunjukkan tanda-tanda pulih. Ditambah lagi separuh dari tubuhnya lumpuh. Sayalah yang bantu dia mandi, suapkan makanan dan sebelum ini menjaganya berbulan-bulan di hospital.

 

Doktor mahu memasang implant dalam kadar segera kerana otaknya masih bengkak selain satu saluran tiub untuk mengurangkan air di bahagian kepala

Kata Azlina Mohd Azraai yang juga isteri Rosley,  di awal pembedahan dahulu, sebaik tempurung kepala suaminya dibuang secara tidak langsung otaknya akan mula mengecut tetapi timbul pula risiko lain kerana otaknya masih lagi membengkak. Sebab itulah boleh nampak bahagian otak kirinya membonjol berbanding sebelah,” katanya memaklumkan suaminya sudah berbulan terlantar selepas diserang strok ketika bangun awal pagi untuk ke tempat kerja.

Bercerita lebih lanjut, kata Azlina, disebabkan otak masih membengkak, doktor mencadangkan satu pembedahan lain iaitu memasang sejenis tiub untuk mengeluarkan air yang terkumpul di kepala  selain memasang implant bagi membolehkan tempurung kepalanya bulut kembali,” katanya sambil menunjukkan lekuk dalam di kepala suaminya. Jelas dari hadapan, otak sebelah kiri masih lagi bengkak dan perlu dibedah dengan segera.

“Pihak hospital minta bayaran RM10,000 tapi sejak abang tidak lagi bekerja empat bulan lalu, kami memang tak ada sumber pendapatan tetap. Buat masa ini abang masih menerima gaji dari majikan tetapi hujung lalui adalah yang terakhir kerana sudah lebih tiga bulan begini,’ katanya yang hanya seorang suri rumah sahaja.

 

Azlina perlu menjaga suaminya sepenuh masa

Strok dan bengkak otak yang dialami oleh suaminya akui Azlina menyukarkan dia untuk keluar bekerja bagi membantu meringankan beban kewangan namun jika dia keluar, suaminya akan tinggal seorang diri di rumah dan situasi itu dijangka lebih membahayakan,’ katanya memaklumkan, dia tidak pasti adakah majikan suaminya sudah menghantar borang tuntutan cuti sakit ke Sosco kerana sebelum ini setahunya belum lagi dihantar.

Dalam pada itu, Azlina akui dari hari ke hari, dia semakin susah hati kerana doktor mahu menyegerakan pembedahan tersebut namun dia sendiri tiada pilihan kerana kewangannya begitu terhad.

‘Saya banyak bergantung kepada pendapatan anak sulung, Ros Ameera Aryani, 21 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai. Sementara anak bongsunya, Ros Aleeya Aryani pula masih bersekolah menengah,” katanya yang merayu bantuan kewangan dari orang ramai agar suaminya dapat menjalani pembedahan dengan kadar segera.

Dalam meringankan beban keluarga ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah ada memberikan sedikit sumbangan awal bernilai RM500 selain kerusi roda untuk keperluan Rosley.

Namun nilai RM10,000 itu cukup besar bagi Azlina dan dia mengharapkan adanya bantuan dari mereka yang bersimpati dengan penderitaan oleh suaminya. “Suami ada ketikanya menangis. Dia orang yang kuat bekerja tetapi strok ini membuatnya terlantar sejak berbulan lalu,” jelasnya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh salurkan terus  kepada Azlina dengan menghubunginya di talian 012-3228673 atau salur ke akaun Maybank atas nama Rosley Mustapha 11217414 9900.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros