Struktur bangunan sudah bertaraf kelas pertama tapi mentaliti minoriti masyarakat kita nampaknya masih bertaraf kelas ketiga.
Suatu ketika dahulu, masyarakat Malaysia cukup berbangga dengan menara berkembar Petronas aka Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang diiktiraf sebagai menara tertinggi di dunia. Ketinggian KLCC bagaimanapun dipintas oleh beberapa menara baharu yang dibina selepas tahun 2000 seperti Burj Khalifa di Dubai dan Taipei 101 di Taiwan.
Kekaguman orang luar untuk melihat bangunan ikonik itu meletakkan Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan popular di peringkat antarabangsa.
Terkini, Malaysia mula menjadi sebutan dengan kehadiran struktur Menara Merdeka 118. Ia dimiliki dan dibangunkan oleh syarikat pengurusan aset terbesar negara kita, Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pada ketinggian 678.9 meter, ia sekaligus merupakan bangunan kedua tertinggi dunia buat masa ini selepas Burj Khalifa, Dubai.
Difahamkan, Menara Merdeka 118 kini sudahpun 85 peratus siap. Pemasangan lantai menara telah mencapai tingkat 118 manakala pemasangan panel kaca telah disiapkan hingga tingkat 114.
ARTIKEL BERKAITAN : Merdeka 118 Mercu Tanda Baru Kebanggan Malaysia
Namun, perkhabaran yang baru diterima menerusi seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Safwan Seth ini amat mendukacitakan.
Belum sampai dua minggu menara Merdeka 118 yang dibina dengan kos RM5 bilion ini dipasang, bahagian puncaknya sudahpun dicemari contengan tulisan yang mungkin dicat atau disembur pada bahagian strukturnya.
Antara nama yang jelas kelihatan adalah seperti ‘Raja’, ‘Syafiq’, ‘Johan’, ‘Kamal Survey’ dan bermacam-macam lagi.
Di mata dunia, Merdeka 118 gah dengan ketinggiannya. Malangnya, ia tidak terlepas daripada menjadi ‘mangsa’ vandalisme lantas membuatkan warganet Malaysia meluahkan geram di media sosial. Entah tangan siapalah yang ‘gatal’ menconteng mercu tanda terbaru di Kuala Lumpur ini.
ARTIKEL LAIN :Perbuatan Biadap! Tak Sampai Sebulan Lukisan Mural Paparkan Wajah Pemimpin Negara Sudah Diconteng
Di ruangan komen, ramai tampil mengecam perbuatan vandalisme terbabit dan menyalahkan individu yang menconteng namanya pada struktur tersebut.
*
Untuk pengetahuan, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB iaitu Ahmad Zulqarnain Onn pernah berkongsi fakta menarik mengenai puncak menara Merdeka 118. Ia berukuran 160 meter dengan berat 1,015 tan iaitu bersamaan dengan berat 852 buah kereta Proton Saga.
Rekaannya pula amat menarik. Keseluruhan menara ini menggambarkan siluet Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman sewaktu Allahyarham mengangkat tangannya dan melaungkan “Merdeka!” pada 31 Ogos 1957. Bahagian puncak menara atau ‘spire’ yang menjadi mangsa vandalisme ini melambangkan tangan beliau.
Diharap selepas Menara Merdeka 118 disiapkan sepenuhnya, kesan-kesan contengan itu dapatlah dihapuskan.
ARTIKEL BERKAITAN : Bangunan Tinggi Petanda Kiamat? Pembinaan Merdeka 118 Turut Dikaitkan Isu Ini
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.