Banjir Seperti ‘Tsunami Kecil’ Di Kedah, Sedekahkan Doa Ini Bagi Mangsa Musibah

Share

Amaran cuaca bahaya akibat hujan lebat yang dijangka berlaku di seluruh negara terutamanya di negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perak hingga hari Jumaat minggu ini telahpun dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menurut laporan BERNAMA, kawasan di Kedah yang mungkin terlibat dalam situasi tersebut ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Di Perak pula, ia membabitkan Kerian, Larut, Matang, dan Selama serta Manjung. Sementara seluruh kawasan Pulau Pinang terlibat dengan amaran tersebut.

Ini berikutan berlakunya fenomena kepala air semalam di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai. Keadaannya amat mengejutkan sehingga diumpamakan seperti ‘tsunami’ kecil oleh penduduk setempat ekoran keadaan air pasang sehingga mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh dengan sekelip mata.

“Sepanjang saya membesar di kampung ini, ini kali pertama berlaku kejadian seperti ini. Kepala air sudah biasa berlaku tetapi tidaklah sehingga titi dan jalan runtuh, kereta hanyut dan ada mangsa yang meninggal. Saya rasa sangat takut,” kata salah seorang penduduk kepada pemberita di Kampung Setol malam tadi.

Setakat operasi pada 1 pagi tadi, tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi sekitar kawasan Gunung Jerai, Yan yang dilanda banjir.

 

Doakan Saudara Kita

Sebagai saudara sesama agama dan sebagai rakyat Malaysia secara amnya, wajarlah untuk kita sampaikan satu doa khusus yang boleh diamalkan semasa melihat orang lain ditimpa musibah.

Doa ini adalah bagi kita meminta perlindungan daripada Allah SWT agar terhindar daripada sebarang musibah fizikal yang boleh menimpa kita. Ia juga boleh diucapkan jika kita melihat bala penyakit melanda sesebuah kawasan ataupun jika kekufuran di kalangan masyarakat jelas dapat dilihat.

Riwayat Ibnu Umar dari ayahnya, Umar Radhiyallahu ‘Anhuma, bahawa Rasulullah SWT bersabda:

“Alhamdulillahilladzi ‘aafaani mimmab talaaka bihi, wa faddhalanii ‘ala katsiirim mimman khalaqa tafdhilaa.”

(Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku dari musibah yang menimpamu dan benar-benar memuliakanku dari makhluk lainnya.)

“Jika kalimah ini diucapkan, maka ia akan diselamatkan dari musibah tersebut, musibah apa pun itu semasa ia hidup.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

*

Pengajaran yang kita boleh dapati daripada bacaan doa tersebut adalah untuk mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana kita masih diselamatkan oleh-Nya daripada bala bencana atau penyakit yang sedang melanda orang lain.

Bukanlah untuk kita merasa ‘selamat’ kerana dikecualikan. Kita seharusnya merasa gentar jika musibah yang sama melanda diri kita. Ia mengingatkan kita untuk tidak pernah melupakan Allah SWT di saat senang mahupun susah.

Pada masa yang sama, kita seharusnya bersyukur kita masih dipelihara oleh-Nya dan masih berpeluang kembali ke jalan yang benar.

BACA LAGIPenuntut Universiti Hilang Dan Bapa Mangsa Pertama Banjir Di Pahang – REMAJA

Sumber : Bernama, Youtube TV3

Published by
Nana