Merupakan anak bongsu kepada 9 beradik yang 7 daripadanya adalah adik-beradik tiri, Alif Haiqal dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan secara tidak langsung mendidik dirinya untuk lebih berdikari. Selepas tamat persekolahan, Haiqal sudah mula bekerja bagi membantu keluarganya untuk memperoleh pendapatan.
Pernah bekerja sebagai pelayan restoran dan personal shopper di sebuah pasar raya, Haiqal tidak malu untuk mengakuinya dan menganggap setiap pekerjaan yang dilakukannya itu sebagai pengalaman serta dapat mengajar dirinya untuk menjadi seorang individu yang lebih matang.
Sewaktu pandemik ini, Haiqal juga turut membantu ibunya yang bekerja sebagai tukang masak di rumah kebajikan warga emas.
“Setiap pagi, mak saya akan menyediakan sarapan pagi untuk opah-opah di Mesra Home. Jadi, saya akan membantu mak melakukan kerja-kerja memasak, seperti memotong sayur dan sebagainya. Selepas itu, kami akan menghidangkan kepada mereka dan kemudiannya, tugas saya pula untuk membersihkan segala pinggan dan cawan yang telah digunakan,” jelas Haiqal.
Disebabkan ibunya keluar bekerja, Haiqal mengambil tugas menyiapkan makanan buat ahli keluarganya yang lain.
“Selepas membantu mak di pusat jagaan warga emas itu, Haiqal akan pulang ke rumah untuk memasak. Sebelum PKP ni saya jarang luangkan masa bersama keluarga sebab busy dengan kerja. Jadi sepanjang PKP ni saya ambil kesempatan untuk bantu mereka semampu mungkin,” tambahnya lagi.
Melihatkan kesungguhan Haiqal, jelas sekali finalis Hero Remaja 2021 ini sangat berdikari dan mampu menguruskan diri dan keluarga dengan baik. Dengan minat yang mendalam terhadap industri hiburan, Haiqal juga berharap agar dia mampu untuk mengubah nasib keluarganya dan diberi peluang mengembangkan bakat yang ada dalam diri.
Korang juga boleh mengundi Haiqal untuk kategori Hero Favorite di laman web remaja.my