Banyak Kali Gagal Sebelum Berjaya Buka 2 Kilang, Khairul Aming ‘Throwback’ Realiti Jatuh Bangun

Share

 

Pada era perniagaan digital sekarang, para usahawan dari segenap cabang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Dengan pengalaman dan keinginan untuk berjaya, tidak mustahil untuk mana-mana individu berjaya membina empayar perniagaan dari bawah.

Namun tidak semua kejayaan yang kekal selama bertahun-tahun itu datang bergolek begitu saja.

ARTIKEL BERKAITAN : Tak Ghairah Tukar Kereta Mewah, Khairul Aming Kongsi Kisah Perodua Bezza-nya – REMAJA

Contoh terdekat adalah usahawan sambal dan pempengaruh video masakan popular, Khairul Amin Kamarulzaman. Lebih mesra dikenali sebagai Khairul Aming, beliau yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-30 baru-baru ini telahpun memuat naik hantaran yang sedikit berbeza.

Khairul Amin Kamarulzaman aka Khairul Aming, 30.

Selalunya kita akan memuat naik foto atau video bersama kek hari jadi bukan. Namun Khairul Aming memilih untuk berkongsi video realiti kehidupannya sebelum dan selepas bergelar seorang usahawan.

Sambil mengimbas semula ‘diari hidupnya dari usia 20 hingga 30 tahun, beliau berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepadanya selama ini.

Tahukah korang, Khairul Aming terlebih dahulu melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Vanderbilt University, Amerika Syarikat setelah memperolehi biasiswa. Bijak tau Khairul Aming ni!

ARTIKEL BERKAITAN : Jelaskan Isu Sambal Tumpah, Fakta-Fakta Cukup ‘Clear’ Khairul Aming Buat Netizen Kagum – REMAJA

Minatnya dalam seni videografi bagaimanapun masih menebal sehinggakan beliau pernah memenangi tempat pertama pertandingan video ‘Travel Video Contest’ sewaktu di bumi Uncle Sam. Hanya pada tahun seterusnya, Khairul Aming membeli sebuah kamera DSLR pertamanya dengan wang yang dikumpul sendiri.

Selain meraih anugerah dekan pada setiap semester dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan pengkhususan major Kejuruteraan Mekanikal dan minor dalam bidang Material & Science Engineering, Khairul Aming menamatkan pengajian dengan keputusan CGPA 3.75 serta meraih anugerah AT&T Innovation Award. Sejurus kembali ke tanah air, beliau memulakan dahulu kerjaya sebagai seorang jurutera bidang minyak dan galian sebelum kemudiannya beralih ke bidang logistik.

Dalam video tersebut, Khairul Aming berkongsi bagaimana empayarnya ‘KhairulAming’ bermula pada usia muda.

“Umur 25 tahun, saya teringin hasilkan side income. Saya jual healthy meal, gagal. Jual baju, gagal. Jual template resume, gagal.

“Saya rasa baik buat video memasak sahaja. Jadi saya set-up booth kecil untuk photoshoot guna besi almari baju dan kemudian muat naik video memasak ke saluran YouTube ‘Rasapop’.

“Umur 26 tahun, ‘Rasapop’ boom sampai setengah juta pengikut. Jadi saya buat keputusan untuk jual produk sendiri. Hari-hari balik kerja naik LRT ke Kampung Baru untuk beli botol dan lada. Buat R&D dan jual

“Saya ingatkan berjaya, rupanya tidak.”

“Semua gagal, Semua saving hilang, page ‘Rasapop’ pun jatuh views dan kena start balik dari awal,” katanya. Biarpun berdepan kegagalan dalam bidang perniagaan pada peringkat awal ini, sesuatu yang positif dalam diri Khairul Aming adalah betapa dia tidak takut untuk bangkit.

Di sebalik pembikinan setiap video masakan.

Kali ini, dia beralih kepada nama saluran berbeza iaitu ‘Khairulaming’. Masih muncul dengan video berkaitan masakan yang biasa kita tonton sekarang terutamanya pada bulan Ramadan, strategi beliau akhirnya membuahkan hasil.

Daripada 1000 orang pengikut di Instagram, sehingga kini ia telahpun mencecah angka 3 juta orang! Impian untuk mengubah hidup ayahnya bertahan beberapa ketika apabila ayahnya meninggal dunia pada usia 28 tahun. Khairul Aming nekad untuk keluar daripada bidang kejuruteraan secara total dan fokus terhadap penghasilan video masakan serta membuka perniagaan Sambal Nyet yang kini tular.

Dengan memiliki dua buah kilang hasil wang simpanan serta modal keuntungan yang diperolehinya selama ini, Khairul Aming tidak lagi berpaling ke belakang. Selama 10 tahun berdepan penuh cabaran, kerja keras, kejayaan, kegagalan dan pelbagai detik hidup yang mengajarnya erti syukur terhadap pengalaman yang diterimanya, Khairul Aming kini boleh berbangga dengan kejayaan Sambal Nyet.

ARTIKEL BERKAITAN : Setahun Setengah Berniaga, Khairul Aming Buka Kilang Kedua. Jualan Sambal Cecah RM14 Juta – REMAJA

Ingat guys, untuk berjaya bukan mudah. Untuk mempertahankan kejayaan lagilah tidak mudah. Namun langkah pertama yang perlu dilakukan sebenarnya adalah untuk memiliki ilmu dalam apa juga bidang yang ingin kita ceburi. Keberanian dan semangat untuk berjaya itu akan muncul menerusi pengalaman apabila kita mula bergaul dengan orang di sekeliling.

Selamat Hari Lahir Khairul Aming!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

”.

Published by
FZ