Menikmati waktu tidur yang berkualiti adalah idaman ramai orang. Tidur juga adalah masa berehat terbaik selepas seharian penat bekerja, belajar dan lain-lain aktiviti. Kita boleh berehat tetapi jangan berlebihan. Ini kerana kajian dari negara Barat mendapati orang yang tidur berlebihan berisiko pendek umur kerana lebih mudah mendapat serangan sakit jantung.
Ternyata al-Quran dan hadis yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak 1400 tahun dahulu sudah menyatakannya terlebih awal sebelum kajian dari Barat ini dijadikan rujukan dunia perubatan. Ada larangan dari hadis tidur selepas Subuh dan ketika waktu Asar kerana ia bukan saja boleh melemahkan fikiran tetapi juga menjadikan kita lebih malas. Jika kita sering tidur terutama waktu Subuh, di saat permulaan hari mencari rezeki, bermakna kita akan ketinggalan berbanding orang lain yang sudah pun bertebaran di muka bumi mencari rezeki.
Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya berkata, keburukan orang yang berlebihan tidur ini boleh membawa kepada masalah sakit kepala, diabetes, depresi, kurang tumpuan, malas, kurang berurusan dengan orang lain, penampilan kurang menarik, otak jadi malas, merosakkan hati dan paling utama malas beribadah.
Bacalah, kenapa kita sebenarnya dilarang tidur terlalu lama. Sebenarnya tiada alasan untuk kita tidur terlalu lama seperti dikongsikan oleh page TheDiagnosis tulisan Dr Latif Saad.
Orang dewasa yang tidur lebih daripada waktu yang disyorkan untuk tidur mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat serangan sakit jantung dan juga mati. Dapatan ini daripada satu kajian yang terbaru. Tetapi anda perlu baca artikel ini sampai habis terlebih dahulu
Dalam kajian ini, ia melibatkan 117,000 orang dewasa yang berumur daripada 35 hingga 70 tahun. Kesemua peserta ini merangkumi 21 negara yang melalui susulan selama 9 tahun. Kajian ini telah diterbitkan didalam journal yang berkaitan dengan masalah jantung iaitu European Heart Journal
.Risiko untuk mendapat masalah jantung akan semakin meningkat jika seseorang itu tidur lebih lama:
Ia bermaksud kadar ini meningkat daripada 5%, 17% dan 41% ketika mana anda tidur semakin lama.
Para pengkaji menyatakan bahawa belum dapat dipastikan adakah benar tidur yang berlebihan itu menyebabkan penyakit tersebut berlaku ataupun masalah sakit jantung itu sendiri yang menyebabkan tidur peserta menjadi berlebihan.
Dalam kajian tersebut juga menyatakan bahawa mereka yang tidur waktu pagi dan tidur waktu malam melebihi 6 jam akan mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi masalah tersebut kecuali jika mereka tidur malam kurang daripada 6 jam, golongan ini mempunyai risiko seperti biasa.
Seorang Professor Perubatan Jantung daripada Warwick University, Francesco Cappuccio menjelaskan bahawa ” Bukan disebabkan tidur yang panjang itu menjadi punca kepada kematian ataupun penyakit tersebut,” Tetapi masalah kesihatan itu yang menyebabkan waktu tidur mereka bertambah”.
Kesimpulan
Jika kita mengalami tidur yang panjang, ia mungkin petanda yang kita ini mengalami masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, perlunya kita melakukan pemeriksaan berkala untuk masalah tidur yang dihadapi. Ujian tekanan darah dan gula yang berkala seperti setiap beberapa bulan adalah bagus untuk saringan bagi mengetahui kita mengalami masalah kesihatan ataupun tidak.
Rujukan:
Dominik Linz, Kadhim Kadhim, Jonathan M Kalman, R Doug McEvoy, Prashanthan Sanders; Sleep and cardiovascular risk: how much is too much of a good thing?, European Heart Journal, , ehy772, https://doi.org/10.1093/eurheartj/ehy772