“Bapa Hirup Darah Selepas Leher Terkulai”, Ini 6 Tragedi Tragis Kes Sembelih Anak

Share

Dua hari lalu, seorang bapa yang dilaporkan peminum tegar air ketum selain disahkan positif syabu telah menetak anak lelaki sulungnya hingga maut dalam satu kejadian di di Blok 11A Flat Puchong Permai, Subang Jaya.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa dikatakan sedang tidur di atas tilam di bahagian ruang tamu sebelum ditetak di tubuhnya oleh bapanya selepas mendapat “arahan” (halusinasi) sebelum dilantik sebagai “king”.

Lebih sadis, selepas membunuh, suspek dikatakan meletakkan mayat anaknya itu di luar pintu rumah sebelum dia mengurungkan diri di dalam. Suspek yang merupakan seorang anggota Rela turut mempunyai satu kes jenayah melibatkan dadah sebelum ini.

Kanak-kanak berusia 5 tahun ini menjadi mangsa “halusinasi” bapanya yang dikatakan akan dilantik sebagai “king”..

 

Selepas ditetak mangsa diletakkan di luar rumah. Penghuni rumah pangsa pada awalnya menyangka kanak-kanak comel ini terjatuh tetapi selepas siasatan polis, dia menjadi mangsa tetak bapanya

Tragedi sebegini mengundang seribu simpati dari masyarakat. Jika kejadian di Puchong itu membuatkan kita bersedih, mungkin kita belum boleh melupakan kejadian 18 Jun lalu di mana seorang ibu berusia 31 tahun dari Felda Jengka telah mengelar leher anak lelakinya berusia 2 tahun menggunakan senjata tajam.

Mendakwa ia mendengar halusinasi yang menyuruhnya mengerat leher anaknya sebelum bertindak mengelar leher anak bongsunya, suspek dikatakan tidak mempunyai rekod jenayah atau mengalami masalah mental. Kejadian ini dikatakan berlaku di bilik tidur namun selepas kejadian, ibu ini hanya mampu menangis dan bertanya di mana anak lelakinya yang sudah terkulai meninggal dunia.

Kejadian yang berlaku di Felda Jengka Jun lalu cukup berkesan di hati masyarakat bila mana mangsa berusia 2 tahun meninggal dalam keadaan tragis

 

Ibu mangsa menghadapi dakwaan atas pertuduhan jenayah dilakukannya biar mendakwa tidak menyedari apa sebenarnya yang terjadi

Di sebalik dua kes bunuh berkaitan halusinasi, REMAJA senaraikan lagi empat lagi kes sembelih anak yang cukup tragis yang pernah menggemparkan masyarakat dan daya fikir manusia waras.

Kejadian sembelih paling tragis ini berlaku di Kampung Epil, Jalan Kastam Baru, Lahad Datu, Sabah yang berlaku pada 18 Ogos 2013.

Seorang datuk, Imam Nasir dikatakan tidak menyangka menantunya tergamak berkelakuan seperti syaitan selepas mengerat leher anaknya sendiri.

“Tergamak menantu saya menyembelih anak sendiri sebelum menghirup darah yang memancut dari leher. Ini semua kerja syaitan,” kata Imam Nasir, 58, apabila melihat cucu lelaki kesayangannya berusia tujuh tahun disembelih bapa kandung di depan matanya dalam kejadian ngeri di Kampung Epil, Jalan Kastam Baru, Lahad Datu.

Dalam kejadian jam 9.20 malam, mangsa, Haikal Salimar menggelupur kesakitan sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah di leher.
Lebih mengerikan lagi, bapa mangsa, Salimar Hamad, 35, seolah-olah tidak menghiraukan keadaan anak bongsunya yang berlumuran darah, sebaliknya bertindak menghirup darah yang membuak keluar dari leher kanak-kanak malang itu. Sambil meluahkan perasaan marah, Imam berkata, menantunya itu bertindak seperti haiwan.  “Saya terkejut dengan tindakannya dan ahli keluarga lain berusaha menahan perbuatan itu tetapi gagal.

Mangsa selalunya anak-anak atau mereka yang tidak berdaya melawan. Gambar hiasan

Jika di Sabah kes paling tragis, seorang ibu pula melaporkan dia tergamam selepas melihat leher anaknya, Mohamad Adam Muszahffar Muhaimin, 3, terkulai berlumuran darah selepas anaknya itu disembelih oleh suami.

Dalam kejadian di Kampung Sungai Keladi, ibu mangsa, Nik Suzila berkata selepas menyembelih anak, suaminya yang mengalami masalah mental cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya menggunakan pisau sama, namun tidak berjaya kerana ditahan polis.

Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dia dan suaminya, Muhaimin Sauntar, 33, sempat berbual-bual sebelum suaminya mengadu kepanasan dan berjalan ke arah dapur sambil diekori Mohamad Adam Muszahffar.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar jeritan kuat Mohamad Adam Muszahffar dan pada mulanya menyangka anak kedua daripada tiga beradik itu terjatuh di dapur. (Tarikh kejadian 25 Ogos 2010).

Akhbar pernah melaporkan kejadian menyedihkan ini

Seorang bapa yang dipercayai mengalami gangguan halusinasi akibat pengaruh dadah bertindak menyembelih anak perempuannya berusia 11 bulan 20 hari hingga mati di rumah mereka di Felda Panching Selatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek berusia 28 tahun bertindak mengelar leher anaknya, Nor Amirah menggunakan sebilah parang berukuran 44 sentimeter dalam sebuah bilik tidur sebelum kejadian disedari ibu mangsa berusia 26 tahun yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian.

Menurutnya, ibu mangsa segera memaklumkan kejadian kepada keluarga, manakala suspek yang tertekan dengan perbuatannya itu difahamkan sempat menghubungi talian kecemasan 999 meminta bantuan untuk menghantar anaknya ke hospital. (Tarikh kejadian: 17 Nov 2012)

Dua beradik berusia dua tahun empat bulan dan enam tahun ditemui mati, dipercayai disembelih ibu mereka sendiri di kediaman mereka di Taman Wira Indah, Sungai Petani.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kanak-kanak lelaki dan kakaknya itu ditemui di dua bilik tidur mereka dalam keadaan berlumuran darah. Jurucakap polis berkata, ahli keluarga lain yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi pihak polis.

“Polis datang tidak lama kemudian lalu menahan suspek dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya. (tarikh kejadian 1 Disember 2015).

Ternyata kes sembelih anak tidak hanya dilakukan oleh bapa tetapi juga ibu, bapa saudara, kenalan rapat dan sebagainya. Ternyata halusinasi akibat dadah, masalah mental juga tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan mudarat yang besar jika tidak ditangani lebih awal.

Published by
Almaswa Haji Che Ros