Hasrat ibu bapa untuk melihat anaknya menaiki pentas menerima segenggam ijazah tidak kesampaian apabila mereka hadir ke sidang konvokesyen tanpa pemiliknya.
Muhamad Rashidi Sabudin hadir bersama isteri, Mahirah Mohd Sood mewakili anak lelakinya, Abdul Rahman untuk menerima skrol yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada sesi kelima, di Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM).
ARTIKEL BERKAITAN: Impian Untuk Sepentas Bersama Tercapai, Pasangan Kembar Ini Genggam Ijazah Kelas Pertama UUM!
Salah seorang pensyarah yang berkesempatan menziarahi graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan) di rumahnya di Cheras, pada awal November lalu untuk bertanyakan perkembangan semasanya.
Menurut Dr. Mohd Foad, Abdul Rahman kini lumpuh dari bahagian bawah perut hingga ke kaki sejak Ogos lalu akibat sel kanser menekan saraf tunjang dan pada Oktober baru-baru ini.
Sekali gus, telah kehilangan keupayaan tangan untuk bergerak atau mengangkat barang dan kini hanya bergantung pada mesin ‘Oxygen Concentrator’ sepenuhnya dan diletakkan di bawah penjagaan paliatif.
“Ketika ditemui, pemuda ini tetap tersenyum meskipun sedang menanggung ujian besar pada usia masih muda.
“Abdul Rahman pasti sedang menyaksikan majlis ini dari jauh. Saya dan seluruh warga UUM berdoa agar kesihatan beliau kembali pulih,” katanya.
Suasana di dalam dewan mengundang sebak apabila video rakaman Abdul Rahman memakai jubah konvokesyen ditayangkan.
Untuk info, Abdul Rahman dikesan menghidap kanser tulang tahap empat pada Mei 2021 setelah mengalami sakit berpanjangan di bahagian lutut kiri sehingga beliau sukar tidur malam.
Abdul Rahman pernah berkata, sesiapa pun yang kini sedang mengalami ujian yang sama, janganlah berputus asa.
Tahniah REMAJA ucapkan & Semoga Abdul Rahman cepat sembuh seperti sedia kala.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUM Today
*Cemburunya!* Pilot Ini Kongsi Caranya Dipilih Bekerja Dengan Emirates, Banyak Betul Kelebihan Diterimanya
Isi Kandungan
Toggle
Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
ARTIKEL BERKAITAN : Cantik, Bijak Dan Berani. Pakej Lengkap Milik Juruterbang Wanita Malaysia, Khaysha Faizal – REMAJA
BACA LAGI : Berdiri Di Puncak Burj Khalifa, ‘Pramugari’ Emirates Ini Curi Perhatian Warganet – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Anak Sulung Kak KM Berjaya Tamat Pengajian Di Universiti Malaya!
Usahawan terkenal, Kak KM meluahkan rasa bangga dan seronok apabila hadir menyaksikan konvokesyen anak sulungnya, Nabila Razman, yang kini bergelar graduan di peringkat diploma, Universiti Malaya.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Kak KM memuji Nabila sebagai anak yang bijak dan menyifatkan pencapaian anak gadisnya itu sebagai kebanggaan dirinya.
ARTIKEL BERKAITAN : Kak KM Tampil Dengan Imej Berhijab Tuai Pujian Ramai, Bakal Tunai Umrah Bulan Depan
“Tahniah anak mama yang bijak pandai, Nabila. Kebanggaan mama,” tulis anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri itu di ruangan kapsyen.
Menerusi perkongsian sama, dapat dilihat Kak KM turut berkongsi momen istimewa ketika Nabila menerima skrol di atas pentas, serta video di hadapan dewan, di mana memeluk dan mengangkat Nabila dengan penuh kegembiraan.
Reaksi positif turut diterima daripada pengikut Kak KM yang turut menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan Nabila.
ARTIKEL BERKAITAN : “Anak Mama Pandai…” Kak KM Hadiahkan Anak Lelaki Kereta & Cek RM10,000 Sempena Keputusan SPM 6A
Ramai yang tidak menyangka gadis itu sudah berjaya menamatkan pengajian, memandangkan mereka merasakan baru sahaja Nabila dihantar oleh ibunya untuk melanjutkan pengajian di universiti.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Instagram Kak KM Sayang
Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022
Isi Kandungan
ToggleTugas sebagai seorang penyampai berita dan pengacara lebih daripada sekadar penghias layar kaca. Roda kehidupan mungkin sudah berganjak ke dunia digital namun beban kredibiliti dan integriti yang digenggam oleh wajah-wajah penyampai generasi baharu masih teguh dipertahankan sehingga kini. Itulah sebab si cantik manis dan bijak ini mampu tersenyum lebar apabila rezeki bergelar seorang penyampai berita jatuh juga di tangannya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Hawa Rizwana.
arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN penyunting video AMIRUL FITRI susunan grafik AZNIZA AZIZ solekan AYANG KAMELL persalinan NEW BALANCE
Semakin hari semakin laris. Begitulah tanggapan pertama apabila bersua muka dengan pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan di set penggambaran kami
Gaya pertuturan, penyampaian dan lentur suaranya ketika bersiaran mengendalikan segmen Buletin Utama, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor menerusi saluran TV3 mudah untuk dikenalpasti sebaik telinga menangkap suaranya.
Penegasan dalam setiap butiran informasi melakarkan sebuah pesona buat personaliti televisyen muda ini. Sesibuk mana pun, Hawa Rizwana yang kami kenali masih sama seperti dahulu. Seboleh mungkin, dia ingin menyelitkan ke dalam jadualnya aktiviti-aktiviti yang mampu memberi titik tambah kepada dirinya. Ini termasuklah untuk menerima pelawaan REMAJA dengan hati terbuka sebagai wajah kempen Saya #RemajaMalaysia buat tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Titian 6 Tahun KHAI BAHAR Penuh Makna – REMAJA
Cabaran Menjadi Penyampai Berita
Bercerita mengenai tugas hakikinya dalam dunia penyiaran tempatan, satu perkara yang dititik beratkan oleh Hawa adalah misi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.
“Nawaitu tu sangat penting. Saya tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri apabila menjadi wajah tontonan jutaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja berita yang kita sampaikan itu dihadam oleh mereka, malah cara membawa diri, pertuturan sampailah ke lirik mata pun satu-persatu dianalisa.
“Saya rasakan mereka sedar sahaja personaliti mana-mana penyampai berita di hadapan kamera dan di luar set itu ada lainnya. Namun sebagai penyampai berita, saya juga sedar saya membawa jenama slot berita atau program yang saya wakili dan kredibiliti program-program kendalian saya itu harus dijaga.
“Jika kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana kita mampu membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.
“Seperkara lagi, saya juga sentiasa perlu memastikan penyampaian berita dilakukan secara matang dan memenuhi jangkaan penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada usia remaja hinggalah ke peringkat dewasa.
“Untuk mendapatkan kepercayaan mereka adalah satu bentuk cabaran bagi saya,” ujarnya Hawa sewaktu mendapat sentuhan riasan Ayang Kamell pada hari tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Kedudukan 40 Terbaik Miss World 2021 Dikenang Dr. Lavanya Sivaji – REMAJA
Minda Terbuka Luas
Setelah terlibat dalam beratus-ratus episod di slot berita dan program temubual, tentunya ada di antara kandungan yang berbekas di minda dan jiwa Hawa. Kongsinya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu perlu membuat liputan mengenai sebuah persatuan down sindrom tempatan. Peluang mengenali para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini membuka luas minda Hawa mengenai sentimen perpaduan di Malaysia.
“Walaupun berlainan agama dan bangsa, mereka kenal antara satu sama lain, saling membantu kerana dan tidak kekok berinteraksi. Siapa sangka, kekurangan yang ada pada anak masing-masing menjadi kelebihan dalam pergaulan sesama kita. Tugasan tersebut membolehkan saya jelas melihat wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga.”
Seronoknya apabila berkhidmat di sebuah stesen televisyen tempatan buat Hawa melebihi nilai glamor yang datang dengannya. Ya, tidak dinafikan wajah Hawa menjadi tatapan jutaan mata dan kehidupan pantas berubah apabila perlahan-lahan mendaki puncak populariti. Begitupun, sekali lagi Hawa berpaling kepada intipati kandungan program yang dikendalikannya apabila kami bertanyakan tentang kelebihan menjadi seorang figura awam.
“Banyak perkara yang boleh saya pelajari setiap hari. Pengikut saya pasti tahu mengenai penglibatan saya dalam landasan pendidikan di mana saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Namun apabila difikirkan semula, selama ini; saya bukan saja belajar dalam kepompong kelas semata tetapi saya turut belajar sewaktu bertugas serta membuat liputan.
“Contoh paling mudah, kita ambil lagu raya lah. Sewaktu menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina; mudah untuk kita mengenal pasti lagu perayaan masing-masing. Tetapi bila tiba perayaan Deepavali, majoriti tidak begitu familiar dengan lagu perayaannya. Menerusi tugasan saya di tempat kerjalah, saya mengutip ilmu baru seperti ini. Saya berpeluang mendalami perkara yang tidak selalu diperkatakan dan kongsikan semula ilmu itu dengan pengikut saya menerusi media sosial,” katanya.
Misi Hawa hanya satu, untuk menyampaikan perkara bermanfaat buat tontonan rakyat Malaysia.
“Hawa sangat berharap agar pemain dunia media dan penyiaran di Malaysia sentiasa berkongsi sesuatu yang memberi inspirasi dan bermanfaat kepada semua. Kedengaran agak klise, tetapi saya masih mempercayai hikmah sekiranya kita ada niat untuk sebarkan kebaikan kepada orang lain walau sekecil manapun,” tambah si cantik berbintang Virgo ini.
Cinta Tersemi Dalam Seni Tarian
Siapa sangka, minat Hawa Rizwana bukan sekadar terletak pada penyampaian berita sahaja tetapi juga dalam dunia seni tari terutamanya tarian tradisional Malaysia.
“Sewaktu di UiTM, saya pernah mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor dan kami berpeluang ke Hungary. Minat inilah yang membuatkan Hawa mengenali kepelbagaian tarian yang kita ada dan gembira membawa nama Malaysia ke luar negara.
“Hawa memang suka mempelajari seni tarian. Sempatlah juga belajar tarian Kabaddi, tarian Kipas Cina dan macam-macam lagi. Itulah yang membuatkan Malaysia unik dan menyeronokkan.
“Bagi Hawa, sebagai generasi baharu; seharusnya kita berfikiran terbuka untuk mempelajari budaya berlainan. Barulah mudah timbul rasa hormat apabila kita faham mengapa ia penting bagi mereka. Secara tidak langsung, dari situlah kita memupuk keharmonian.
“Tidak dinafikan bila hidup dalam era digital, segalanya ingin diperlekehkan atau dipersoalkan. Paling mudah adalah apabila kita memberi ucapan perayaan sehinggakan ada pihak yang beranggapan kita menyokong dan menyambut perayaan agama berbeza. Hakikatnya, kita hanya ingin menghormati budaya sahabat kita yang berlainan kaum dan agama.
“Kadangkala bila dimomokkan berita-berita negatif seperti ini terutamanya di media sosial; pemikiran kita terus berubah negatif juga. Oleh itu, dalamilah dahulu keunikan budaya rakan-rakan kita sebelum terus menjatuhkan persepsi pra-matang,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.