Baru 5 Hari Muncul, Grup K-Pop SOLIA Terus Bubar!

Share

 

Persoalannya, siapakah Solia? 

Mereka belum mencapai tahap populariti seperti TWICE, Red Velvet, Blackpink, MaMaMoo dan lain-lain grup K-pop perempuan lain. Namun berita pembubaran ini masih mengejutkan dunia hiburan Korea. Apatah lagi, grup yang dianggotai lima orang ahli ini baru saja muncul selama LIMA hari!

Jadi, siapakah Solia ini sebenarnya?

Solia merupakan grup baharu yang ditubuhkan di bawahSpace Music Entertainment; sebuah syarikat yang bertanggungjawab menaikkan nama beberapa penghibur Korea Selatan seperti Heo Yu Jin, kumpulan HI CUTIE dan Like Me.

Dianggotai oleh Seyeon, Soree, Suna, Hayeon dan Eunbi, Solia wujud hasil gabungan dua buah kumpulan.

Soyeon dan Soree merupakan ahli sebuah kumpulan tarian bernama Remember manakala Suna, Hayeon dan Eunbi pula sebelum ini pernah berada di bawah kelolaan label Good Dream Entertainment sebagai ahli kumpulan SIOSIJAK sebelum kumpulan itu dibubarkan.

Setelah melalui proses latihan dan persiapan rapi, Solia melakukan debut mereka pada 17 Ogos lalu menerusi single pertama berjudul Dream. Percubaan Solia untuk menarik lebih ramai peminat menerusi Dream seakan berjaya apabila video muziknya di YouTube telah mencatatkan 750,000 tontonan setakat ini. Namun, nasib nyata tidak menyebelahi Solia. Mereka terpaksa menebalkan muka dan mengumumkan pembubaran kumpulan menerusi akaun media sosial hanya lima hari setelah meraikan kemunculan.

Tiada sebab tertentu dinyatakan oleh pihak label atau ahli-ahli Solia setakat ini. Namun, pembubaran itu dipercayai terjadi disebabkan masalah kewangan Space Music Entertainment demi menanggung kos pengelolaan Solia.

Biarpun secara teknikalnya, Solia kini tidak lagi wujud – impak setiap ahlinya masih dapat dirasai menerusi sokongan yang diberikan warganet seperti kata-kata semangat, makian terhadap syarikat label dan peminat masih terus mengikuti Solia di media sosial.

Ramai yang marah bagi pihak Solia dan merasa kecewa atas keputusan syarikat label yang melancarkan grup baharu walaupun terang-terangan belum bersedia dari segi kewangan. Harapan dan impian lima orang ahlinya terus musnah setelah menunggu peluang ini bertahun-tahun lamanya. Bayangkan sajalah perasaan Suna, Hayeon dan Eunbi yang pernah melalui situasi sama semasa menganggotai kumpulan asal mereka. 

Pisang berbuah dua kali ke ni?

Apapun, Solia kini mencatat rekod sebagai kumpulan K-pop paling pantas dibubarkan selepas mereka melakukan debut.

Terdahulu, REMAJA pernah berkongsi kisah ketua kumpulan Z-Girls iaitu Carlyn yang nekad meninggalkan kumpulannya setelah mendapat tahu dirinya berbadan dua dan ingin terus menetap di Filipina bersama teman lelaki serta keluarganya.

ARTIKEL BERKAITAN : Sah Mengandung, Ahli Grup K-pop Ini Nekad Tidak Pulang Ke Korea – REMAJA

Published by
FZ