Bukan hanya golongan dewasa, malah kanak-kanak sekarang pun sudah memahami untuk menghargai perjuangan frontliners yang berhempas pulas membantu menangani wabak COVID-19 yang melanda dunia hari ini.
Baru berusia 9 tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri sudah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dengan menggunakan kemahirannya untuk menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas frontliners di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Menurut Astro Awani, pelajar yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah ini sudah mula belajar menjahit sejak berusia lima tahun dan menggunakan masa terluang ketika PKP ini untuk melaksanakan misi ini dengan bantuan ibu.
Ibunya sendiri berjumpa dengan kakitangan HTAN untuk bertanyakan jenis bantuan yang boleh diberikan kerana dia seorang tukang jahit. Pihak hospital mengalukan-alukan jika dia dapat menjahit PPE untuk disumbangkan.
Jelas ibunya lagi, Afia Qistina menawarkan diri untuk berbuat demikian selepas diberitahu tentang pasukan perubatan negara, termasuk di HTAN memerlukan PPE yang banyak dan bekalannya semakin berkurang.
Afia mengambil masa kira satu jam untuk menyiapkan sepasang PPE. Setakat ini, sebanyak 100 pasang PPE yang sudah dihantar untuk kegunaan petugas HTAN dan semuanya dijahit sendiri oleh Afia. Ibunya hanya membantu untuk kemaskan di bahagian leher sahaja.
Beruntungnya adik Afia, kecil-kecil lagi dah memberi sumbangan pada negara. Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat kita semua untuk sama-sama menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan buat semua barisan hadapan negara.
Sumber: Astro Awani