Tular semalam di media sosial tempatan berkenaan satu notis yang ditampal di pintu kaca sebuah balai polis di Kuala Lumpur.
Notis tersebut menyatakan beberapa arahan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras di kawasan terbabit kepada mana-mana individu yang ingin memohon merentas negeri pada waktu ini.
Ia berbunyi, “Ekoran isu Instafamous (pensohor media sosial), selebriti dan artis yang salah guna kebenaran rentas yang diberi (oleh) Polis Diraja Malaysia (PDRM), arahan T/KP dalam mesyuarat sekarang mewajibkan pemohon perlu tunjukkan bukti aktiviti setiap hari dipohon.
“Contoh jika tiga hari, apa aktiviti (sepanjang) tiga hari tersebut.
“Permohonan hanya (dengan) membawa salinan kad pengenalan sahaja semata-mata tidak dibenarkan. Wajib mempunyai dokumen sokongan.
“Pegawai polis yang bertugas perlu lebih terperinci semasa mengeluarkan borang rentas negeri,” catat notis tersebut.
Foto notis ini telah dimuat naik secara rawak di laman media sosial sehinggakan warganet mengaitkan kenyataan tersebut dengan beberapa kes personaliti popular yang merentas negeri sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dikuatkuasakan akhir tahun lalu.
*
Menurut laporan Sinar Harian hari ini, notis tersebut telahpun diturunkan tanpa memperolehi sebab di sebalik penurunannya oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed.
Begitupun, beliau menegaskan bahawa larangan merentas negeri tanpa alasan yang sah dan bukti yang kukuh adalah tidak dibenarkan.
“Semua pemohon yang ingin melakukan perjalanan semasa PKP harus menunjukkan bukti, baik untuk pekerjaan atau hal-hal lain.
“Pegawai saya telah diingatkan bahawa mereka yang ingin melakukan perjalanan kerja mesti menunjukkan bukti dan tidak hanya mengeluarkan izin sesuka mereka,” jelas beliau.
Terdahulu, beberapa kes rentas negeri yang mendapat reaksi warganet termasuklah pasangan selebriti Noor Neelofa dan Haris Ismail yang dilihat bersiar-siar di Pulau Langkawi.
Sebelum itu juga, ada beberapa lagi kes lain membabitkan personaliti media sosial popular yang secara terang-terangan memperlihatkan perjalanan mereka merentas negeri demi tujuan yang tidak munasabah seperti menghadiri majlis perkahwinan serta lain-lain tujuan.
ARTIKEL BERKAITAN : “Telah Dikesan..” Influencer Atau Tidak, Tidak Boleh Rentas Negeri Demi Majlis Kahwin – REMAJA
Untuk pengetahuuan, kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini mengumumkan seramai 86 individu telah dikompaun manakala sembilan lagi direman kerana 38 kes percubaan merentas negeri.
BACA LAGI : Individu Yang Cuba Rentas Negeri Untuk Balik Ke Kampung Ramadan Ini Akan Terus Disaman – REMAJA