Bersedia Untuk Terpukau! Battleground Malaysia: Road To Gold Pamer Sukan Tarian ‘Street Dance’ September Ini

Share

Di mana peminat dunia tarian?!

Ya, kini korang mempunyai sebuah lagi rancangan realiti terbitan Astro yang menampilkan sesuatu yang unik untuk ditonton pada setiap minggu.

Battleground Malaysia: Road to Gold (#BTGMY) merupakan sebuah pertandingan sukan tarian street dance terbesar di Malaysia yang menampilkan penari-penari unggul tempatan. Sebagai sebuah inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan dan diperkasakan oleh Rakan Muda, #BTGMY merupakan satu nafas baharu terhadap pertandingan yang mengangkat gaya hidup Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik selari dengan kehendak remaja masa kini.

Bukan itu sahaja, KBS juga amat mementingkan aspek perpaduan dalam kalangan anak muda menerusi aktiviti gaya hidup aktif sebegini. Budaya tarian tidak mengenal kaum ataupun asal-usul kenegerian. Sebaliknya, budaya tarianlah yang memupuk semangat perpaduan bukan sahaja dalam kalangan peserta tetapi juga dalam kalangan mereka yang menonton di seluruh negara.

Biarpun setiap peserta #BTGMY mendambakan kejuaraan berpihak kepada pasukan mereka sendiri, sebagai pelapis budaya dan seni tarian di Malaysia; tentunya para peserta saling memahami minat mendalam dan pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap seorang daripada mereka demi mengejar impian dalam bidang tarian.

Basically, para peserta #BTGMY akan disenarai pendek daripada ratusan belia dari seluruh Malaysia yang telahpun menghantarkan video tarian mereka tempoh hari. Bukan itu sahaja, peserta yang berjaya mengujakan para hakim ketika uji bakat on-ground di AEON Mall Shah Alam sekitar bulan Julai lalu juga ada yang terpilih tau!

#BTGMY kemudiannya akan memaparkan empat kapten tarian terkemuka yang ditugaskan memilih seramai sepuluh orang kru tarian ataupun peserta berdasarkan kebolehan menari mereka.

Kapten-kapten ini terdiri daripada pemenang pingat emas Sukan SEA acara Breaking; Lego Sam, wakil Malaysia ke Sukan SEA; Khenobu, ahli kumpulan muzik 3P (Three Production) Danny Lee dan juara Astro Battleground 2010 & 2011; Seven.

Mereka akan membentuk pasukan masing-masing dengan menguji kemahiran penari-penari dari pelbagai latar belakang untuk bertarung dengan gaya ‘street dance’ mereka dalam pelbagai cabaran yang diberikan. Hanya dalam kalangan yang terhandal akan kekal sehingga ke garisan akhir.

Menerusi sidang media yang dianjurkan itu, #BTGMY telahpun mengumumkan Sherry Alhadad, Dennis Yin dan Saint TFC sebagai hos utama rancangan sekaligus mengangkat tiga bahasa perantara sepanjang musim pertama ini berlangsung. Sementara itu, kemunculan pelakon dan pelawak popular Malaysia, Zizan Razak pula diberikan tugasan sebagai juri.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir bagi melancarkan program, Breaking merupakan sukan terkini yang diperkenalkan di Sukan Olimpik Paris 2024 dan ia adalah salah satu bentuk sukan yang relevan dengan remaja sekarang.

“Dengan kerjasama Astro menerusi Battleground Malaysia: Road to Gold, kementerian amat komited untuk membantu para penari yang berbakat besar dengan memantapkan kemahiran mereka dalam bidang tarian serta mencungkil ramai lagi bakat yang boleh mewakili Malaysia di persada antarabangsa dalam sukan tarian termasuk di Sukan Olimpik kelak,” ulasnya.

Ternyata, KBS menerusi Hannah Yeoh ingin memberi peluang penyertaan agar anak muda dari seluruh negara dapat menyerlahkan lagi bakat ‘street dance’ terpendam mereka.

Haa siapa kata sukan, tarian dan hiburan tidak boleh digabungkan? Barulah kita semua sebagai penonton program #BTGMY pun bersemangat untuk memberikan sokongan tidak terhingga kepada bakal atlet Malaysia yang akan membawa harapan negara di Sukan Olimpik Paris 2024 selari dengan kempen Road To Goal.

Buat pengetahuan korang, acara grand finale #BTGMY bakal diadakan secara langsung pada 3 November 2023 di hadapan para juri antarabangsa.

Juara akan membawa pulang RM100,000 manakala naib juara akan menerima RM30,000. Selain itu, peserta-peserta daripada ahli kumpuran juara juga akan bersaing sesama sendiri untuk memenangi hadiah tambahan RM25,000.

*

Saksikan Battleground Malaysia: Road to Gold menerusi Astro RIA (saluran 104), Vinmeen (saluran 202) dan SHOWCASE (saluran 413) pada setiap hari Jumaat,  jam 10 malam bermula 29 September. Ia juga ditayangkan di Astro AEC (Saluran 306) pada setiap Sabtu, jam 11 malam bermula 30 September.

BACA LAGI: Tak Kisah Dilabel Kolot, Cikgu Tari Tular FAREES ASRI Pertahankan Seni Budaya Menerusi Lensa Media Sosial – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

IHSAN FOTO: ASTRO

Published by
Adriana Syaurah