Bawa Maksud Kesayangan, Ikmal Amry Pilih Nama Cailie Untuk Anak Pertama

Share

Kelahiran anak sulung sememangnya dinanti bagi pasangan suami isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Sudah menjadi rezeki buat Ikmal Amry dan pasangan, mereka telah menerima cahaya mata di ulang tahun perkahwinan pertama yang disambut pada Disember lalu.

Ikmal Amry bergelar seorang bapa kepada bayi perempuan yang dilahirkan sekitar pukul 12.41 tengah hari pada 30 Disember lalu di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

BACA: Ikmal Amry Setia Berada Dalam Dewan Bersalin Saksikan Kelahiran Bayi Sulung

Sebelum ini, Ikmal atau lebih mesra disapa sebagai Am telah memuat naik nama anaknya di IG story tetapi mungkin ramai yang tidak perasan akan tulisannya itu.

“Sebenarnya Am ada berkongsi nama anak di IG story tempoh hari. Tapi mungkin ada yang tidak perasan kerana nama anak Am pun pendek sahaja. Kami memilih nama Cailie yang membawa maksud ‘kesayangan’. Sebab nama bapak dia dah panjang, Mohd Zulikmal Amry, jadi saya rasa lebih baik sekiranya memberikan nama yang pendek sahaja untuk anak,

“Saya dan Najla jumpa nama Cailie itu di google sewaktu mencari-cari nama yang sesuai sebelum kelahiran. Rasanya itu nama yang paling unik yang kami jumpa dan tambahan pula memang saya inginkan nama anak yang bermula daripada huruf C. Kami mula membuat carian tentang maksud nama tersebut dan akhirnya menemui nama Cailie ini adalah daripada bahasa Arab Urdu yang membawa erti ‘kesayangan’,” jelas Ikmal Amry kepada Remaja.

Menjadi seorang bapa di usia 28 tahun dan sewaktu dirinya mula meningkat naik dalam dunia hiburan, sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah untuk pelakon lelaki ini. Ikmal mengakui selepas bergelar ayah, dia menjadi lebih penyabar dan kini walau apa sahaja yang dilakukannya, anak dan keluarga menjadi keutamaan.

“Saat pertama kali bergelar seorang ayah, saya rasa sangat bersyukur kerana isteri saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Perasaan mula-mula tu macam tak percaya juga kerana kita dah melalui satu lagi fasa, daripada berkahwin dan kini bergelar ibu dan bapa. Rasa macam kehidupan tu bertukar dengan cepat,”

“Bila dah due date isteri saya pada 25 Disember, saya memang dah melapangkan jadual kerja dari bulan Januari hingga Februari bagi memberi fokus kepada isteri dan kelahiran ini. Saya banyak bertanyakan kepada individu-individu berpengalaman seperti abang saya sendiri tentang bagaimana tugas menjadi seorang ayah. Abang pun ada pesan, bila ada anak ni kau memang kena struggle sikit, bangun pagi bukan sekali dua, tapi boleh dikatakan setiap jam. Jadi, memang keputusan untuk bercuti dalam sebulan dua ini adalah tepat untuk saya memberikan fokus kepada isteri dan anak,”

Sebelum menantikan kelahiran anak pertama ini, memang boleh dikatakan Ikmal sibuk di set penggambaran. Drama terbaharunya, Ex Aku Pontianak juga bakal ditayangkan bermula 19 Januari 2022 di saluran Astro Ria.

“Untuk watak yang saya bawa dalam drama ini memang ada sedikit kelainan kerana genrenya adalah seram komedi. Sebelum ini mungkin korang tidak pernah melihat sisi lain Ikmal Amry, jadi peminat semua jangan lepaskan peluang untuk menonton Ex Aku Pontianak yang akan ditayangkan setiap hari Rabu pada pukul 9.30 malam. Nantikan juga projek-projek drama dan filem terbaharu saya pada tahun ini,” tambahnya lagi.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Noor Ain Norman