Tidak dinafikan selepas berkahwin dan dikurniakan anak, Ikmal Amry mengakui bahawa rezekinya semakin murah dengan tawaran berlakon yang diterima. Drama terbaharunya, Ex Aku Pontianak kini sedang pun ditayangkan di Astro Ria dan buat pertama kalinya pelakon lelaki ini membawakan watak komedi.
“Watak Ikmal dalam drama ni adalah Malik, seorang gamers dan playboy. Dia seorang lelaki yang suka bermain game dan suka mempermainkan hati perempuan. Itu yang membuatkan dia ada masalah kerana dia telah menghancurkan hati seorang pontianak,”
“Untuk watak yang saya bawa dalam drama ini memang ada sedikit kelainan kerana genrenya adalah seram komedi. Sebelum ini mungkin korang tidak pernah melihat sisi lain Ikmal Amry, jadi peminat semua jangan lepaskan peluang untuk menonton Ex Aku Pontianak,”
“Bagi saya, untuk menjadi seoarang pelakon kita perlu versatile kan watak dan kali ini saya mengambil cabaran untuk melakonkan watak yang tidak pernah lagi dibawa dalam drama sebelum ini. Namun cabaran terbesar yang kami hadapi adalah hampir kebanyakan babak dilakonkan pada waktu malam. Kami mula penggambaran dari pukul 6 petang sampailah 6 pagi, disebabkan itu juga masa untuk diluangkan bersama keluarga terhad dan ini antara cabaran paling besar yang perlu saya lalui,”
BACA: Bawa Maksud Kesayangan, Ikmal Amry Pilih Nama Cailie Untuk Anak Pertama
“Apa yang menariknya, drama ini bukan seperti drama-drama yang pernah ditayangkan, jalan cerita yang lain daripada biasa pasti membuatkan penonton terhibur. Gandingan bersama Raysha Rizrose dan Elizabeth Tan juga antara sebab kenapa korang harus menonton drama Ex Aku Pontianak,”
“Saya banyak belajar dengan pelakon-pelakon berpengalaman dan krew produksi sendiri untuk memantapkan lagi watak Malik ini. Saya berharap agar semua peminat akan menonton siri 10 episod ini dan terhibur dengan lakonan kami semua,” jelas Ikmal Amry.
Jangan lupa saksikan Ex Aku Pontianak yang ditayangkan setiap hari Rabu pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Ria.