Pejam celik, kedua orang puteri kepada Dato’ Awie dan Arni Nazira Anua sudahpun menginjak ke usia 20-an.
Biarpun ibu-bapa mereka itu sudah lama membawa haluan masing-masing, namun Puteri Aleeya Antasha, 22 dan Puteri Aleefa Antasha, 20 tetap menyayangi Awie dan Arni selayaknya dan sama rata.
Baru-baru ini, puteri sulung mereka Puteri Aleeya Antasha telahpun berjaya menamatkan pengajian peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Acara daripada institusi Management & Science University (MSU).
Dalam majlis konvokesyen Aleeya yang dilangsungkan pada hujung minggu lalu, apa yang membuatkan momen itu lebih istimewa adalah kehadiran Awie dan Arni di sana sebagai tanda sokongan.
Aleeya bukan sekadar mewarisi kejelitaan raut wajah Arni yang popular menerusi drama Cinta Antara Benua satu ketika dahulu, malah remaja itu juga tidak kurang bijak juga.
Berkat usaha Aleeya dalam bidang akademik dan disertakan doa ibu-bapanya, dia telahpun dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Terbaik pada majlis konvokesyen tersebut.
Luah Arni, “Saya bersyukur dan bangga dengan Aleeya kerana impiannya untuk membuktikan dia boleh berjaya dalam pelajaran termakbul.
“Mummy dan Daddy doakan moga kakak dan semua adik-adik terus berjaya dalam semua bidang yang diceburi. Mudah-mudahan kakak dan semua adik-adik terus cemerlang di dunia dan akhirat. Syukur ya Allah di atas segala kurnia,” katanya.
Moga-moga kejayaan Aleeya ini membuatkannya bersemangat untuk meneruskan pengajian di peringkat seterusnya sekaligus memberi dorongan kepada adiknya, Aleefa untuk turut berusaha mencapai kejayaan sama.
Tambahan pula apabila Aleefa turut melanjutkan pengajian dalam bidang sama dan di institusi sama.
Artikel Berkaitan: Puteri Dato’ Awie & Arni Nazira Sudahpun Menginjak Usia 20-an
Untuk pengetahuan, Aleeya dan Aleefa merupakan zuriat hasil perkahwinan Arni yang pertama dengan Dato’ Awie sebelum mereka berpisah pada tahun 2006.
Selain dua puteri tersebut, Arni yang kini telah menginjak ke usia 43 tahun juga merupakan ibu kepada tiga lagi orang cahaya mata daripada perkahwinan keduannya bersama usahawan, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar. Mereka terdiri daripada Wan Muhammad Mua’dz, 12; Wan Ayesha Maserra, 10 dan Wan Muhammad Mushrief, 7.
Kini, Arni lebih selesa bergelar suri rumahtangga sepenuh masa dan meneruskan rutin harian sebagai seorang isteri serta ibu kepada lima orang anak tercinta.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.