Satu ketika dulu, gadis ini pernah viral kerana memiliki paras rupa yang seiras dengan selebriti terkenal, Neelofa. Hawa Rizwana Ahmad Redzuan kini merupakan seorang penyampai berita TV3 yang memulakan kariernya sebagai penyampai berita selepas menamatkan latihan praktikal sebagai wartawan penyiaran di TV3.
Bergelar sebagai seorang penyampai berita dan dalam masa yang sama melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Komunikasi Massa, sudah tentu bukan satu perkara mudah. Namun begitu, gadis berusia 24 tahun ini berjaya mendapat keputusan cemerlang dan sekali gus menerima anugerah dekan dengan keputusan 4.00 pointer dalam semester pertamanya.
Alhamdulillah mak saya sendiri pun tak sangka dengan keputusan yang saya perolehi ini kerana saya sibuk bekerja dan belajar dalam masa yang sama. Hari cuti saya akan pergi belajar, jadi saya rasa bangga sebab dapat gembirkan hati mak dan ayah,” jelas Hawa.
Walaupun sudah bergelar seorang wartawan dan penyampai berita, mesti ada juga yang tertanya-tanya kenapa gadis ini masih mahu untuk meneruskan pelajarannya. Ini jawapan yang diberi oleh Hawa.
“Sebenarnya dalam industri media ni ada naik turunnya, kita tak tahu masa depan macam mana. Tambahan pula, saya pun memang minat belajar. Dan ambil Master ini sebagai back up, mungkin satu hari nanti saya boleh jadi part time lecturer
atau pun lecturer jemputan, so at least dengan pelajaran yang saya ada ni, saya boleh berkongsi pengalaman bersama student,”Bekerja sambil belajar, apa cabarannya?
“Cabarannya dari segi masa sebab kerja pun sebagai seorang wartawan dan penyampai berita, masa kerja pun tak tentu siang malam, tak tentu weekdays atau pun weekend. Perkara itu akan mempengaruhi emosi, bila kita tak cukup rehat dan masa untuk diri sendiri, ia akan menganggu emosi. Jadi yang penting adalah fokus pada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa bagi support. Luahkan perasaan pada mereka dan bila rakan-rakan sekelas juga mengadu penat, kami akan sentiasa bagi sokongan diantara satu sama lain,”
Sudah tentu pembahagian masa dan cara belajar memainkan peranan penting sehingga Hawa mampu untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam semesternya kali ini.
Tidak lokek berkongsi cerita, gadis ini mengakui bahawa dia memang mengamalkan amalan ini sejak dia belajar di peringkat Ijazah lagi.
“Saya sering up-to-date dengan kawan-kawan sebab saya belajar secara part time. Kadang ada yang saya terlepas pandang, jadi saya akan tanya kawan-kawan tentang update di dalam kelas. Kalau ada yang tak faham, saya akan terus bertanyakan pada lecturer. Paling penting, jangan ponteng kelas. Saya akan cuba yang terbaik untuk menghadiri semua kelas sebab ambil berkat dari lecturer pun penting. Selain itu, sentiasa ingatkan mak ayah untuk mendoakan semoga murah rezeki. Yang penting niat kena ikhlas,” jelasnya panjang lebar.
Pengalaman dalam industri
Mengakui pengalamannya yang sudah berada di dalam industri merupakan satu kelebihan buat dirinya, Hawa tidak menafikan kerjayanya kini antara faktor menjadikan dia lebih mudah untuk cemerlang dalam pelajaran.
“Memang awal-awal dulu saya ingat lepas habis Degree nak sambung Master terus, tapi Alhamdulillah masa tengah buat latihan praktikal saya sudah ditawarkan bekerja. Ada banyak hikmah rupanya sebab apa yang kita belajar masa kerja saya boleh apply dalam latihan teori. Bila dah kerja kita boleh relate dengan situasi yang berlaku sewaktu bekerja,” jelas Hawa.
Bila mendengarkan kata-kata dari Hawa Rizwana ini, jelas sekali tidak ada yang mustahil untuk korang menjadi seorang pelajar cemerlang walaupun dalam masa yang sama perlu untuk bekerja.
Mungkin ada ramai diantara kita yang tidak yakin boleh memberikan komitmen dalam pelajaran jika mereka masih bekerja, korang kena dengar nasihat daripada Hawa ini.
“Ramai yang cakap dulu nak sambung belajar, tapi lepas dah kahwin dan ada anak, niat tu jadi terkubur. Ada je classmate Hawa yang dah kahwin, benda tu memang tak mustahil. Mungkin ada yang dah kerja tapi takut untuk sambung belajar sebab tak boleh commit, first of all memang perlu takut sebab korang perlukan persediaan mental dan fizikal,”
“Cabaran tu memang akan ada tapi pasangkan niat yang elok-elok sebab apa nak sambung belajar. InsyaAllah semuanya akan dipermudahkan sebab kita belajar to have fun dan bila dah bekerja sebenarnya lebih mudah untuk korang apply dalam pelajaran sebab dah berpengalaman,” jelas Hawa mengakhiri perbualan.
Bukan sahaja cantik, malah personaliti dan kebijaksanaan Hawa juga mendapat perhatian netizen. Ramai yang berpendapat inilah yang dikatakan dengan ‘beauty with brain’.
Tahniah sekali lagi kami ucapkan buat Hawa. Semoga lebih sukses dalam pelajaran dan kerjaya di masa yang akan datang.