Beauty With Brains, Graduan Ekonomi Kewangan Dinobatkan Sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2023

Share

Wakil daerah Papar, Carol Abbey Gail telah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2023 baru-baru ini.

Graduan Ekonomi Kewangan dari Universiti Malaysia Sabah itu membuktikan bahawa ilmu pengetahuan juga merupakan salah satu faktor utama untuk membawa pulang gelaran Unduk Ngadau Kaamatan setelah berjaya mengenepikan 49 peserta lain di pusingan akhir.

Gadis berusia 24 tahun itu sekaligus dimahkotakan oleh pemenang edisi ke-61 pada tahun lalu, Frenerietta Sobitun.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Guru Sekolah Rendah Dinobatkan Sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2022 – REMAJA

Sementara itu, tempat kedua jatuh kepada Calby Floresa dari daerah Kota Marudu manakala wakil Tambunan, Clerice Olvia pula berpuas hati di kedudukan ketiga.

Selain menerima mahkota, Carol juga membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000, trofi dan sejumlah hadiah iringan termasuklah biasiswa pendidikan daripada Universiti Kolej North Borneo.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah RM Jasni. Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Julia Salag.

Menurut Carol sewaktu ditemui pemberita selepas kemenangannya, dia berhasrat untuk mempunyai kerjaya di mana dia boleh menabur jasa kepada komuniti dan negara. Pada waktu senggang pula, dia gemar memasak, mendaki dan bermain alat muzik tradisional seperti Kulintangan dan Gong.

Pada acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun di Panampang itu, ia menyaksikan para peserta melalui beberapa peringkat pertandingan seperti pengenalan peserta dan soal jawab bersama juri yang dilantik.

Untuk pengetahuan, Unduk Ngadau Kaamatan 2023 menyaksikan peningkatan jumlah peserta di pusingan akhir iaitu sejumlah 50 peserta berbanding 44 orang pada edisi 2022. Bukan hanya peserta yang menetap di Sabah sahaja bertanding kali ini tetapi juga beberapa peserta dari Semenanjung Malaysia seperti negeri Perak, Melaka dan Johor.

FOTO: Facebook Carol Abbey Gail

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ