Bekas Juara Badminton Remaja Dunia, Goh Jin Wei Umum Persaraan Di Usia 21 Tahun

Share

Baru berusia 21 tahun, bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei telah pun mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman YouTubenya, dua hari selepas tidak tersenarai dalam skuad Piala Sudirman.

Antara sebab keputusannya itu adalah kerana tempoh pemulihan yang panjang selepas menjalani pembedahan akibat sakit dalam pada tahun 2019.

“Saya telah bersama pasukan kebangsaan untuk tujuh tahun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk peluang dan juga kepada semua rakan dan peminat. Saya harap semua kekecewaan dan impian saya, akan dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan, Lee Zii Jia dan Lai Pei Jing,” katanya.

Foto: BadmintonPlanet.com

Sabtu lalu, BAM tidak menyenaraikan Jin Wei dalam skuad Piala Sudirman disebabkan tidak bersedia daripada segi fizikal untuk kejohanan berpasukan campuran itu, tetapi menyenaraikannya untuk Piala Uber.

Untuk rekod, Jin pernah menjuarai Piala Dunia Remaja pada edisi Lima 2015 (Peru) dan Markham 2018 (Kanada), Jin Wei juga memenangi gelaran di Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur.

Foto: Berita Harian

Tidak dinafikan persaraan di usia yang masih muda merupakan satu kerugian besar buat negara. Namun, apa daya dek masalah kesihatan, pemain remaja ini perlu untuk mengutamakan dirinya terlebih dahulu. Apa-apa pun kami ucapkan selamat maju jaya buat Goh Jin Wei dan semoga terus sukses dalam setiap apa yang dilakukannya selepas ini.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman