Bekas ketua polis daerah di Thailand yang dikenali sebagai ‘Joe Ferrari’ akhirnya dipenjara seumur hidup atas kesalahan mendera seorang suspek dadah hingga mati ketika dalam proses siasatan.
Thitisan Utthanaphon didapati bersalah kerana membunuh dengan melakukan seksaan sehingga menyebabkan kemarahan orang ramai dan menunjukkan kezaliman polis serta rasuah dalam pasukan keselamatan itu.
BACA: Tidak Kenal Kuasa & Pangkat, Bekas Ketua Polis Daerah Thailand Berdepan Hukuman Mati
Rakaman video Ogos tahun lalu menunjukkan sekumpulan pegawai yang didakwa termasuk, Thitisan menekup kepala tahanan sambil menyoalnya. Suspek berusia 24 tahun itu meninggal dunia dalam tahanan polis dan video tular itu telah dijadikan bukti untuk siasatan terhadap tindakan Thitisan dan enam pegawai lain.
Rakaman itu menunjukkan Joe Ferrari dan pegawainya ‘membungkus’ tujuh beg plastik di kepala suspek ketika soal siasat dan cuba memeras ugut AS$60,000 (RM263,690) yang membawa kepada kematian mangsa.
Hakim di Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku Bangkok menjatuhkan hukuman mati Thitisan yang berusia 41 tahun itu tetapi segera menukarnya kepada penjara seumur hidup. Mahkamah mengurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup kerana Thitisan cuba membantu memberi bantuan kecemasan kepada suspek dan membayar perbelanjaan pengebumian untuk keluarga itu.
Namun, ibu mangsa tidak berpuas hati dan menjelaskan dia tidak mahu melihat wajah Thitisan.
“Saya mahu (hukuman mati). Saya mahu perkara berlaku kepadanya seperti yang berlaku kepada anak saya,” katanya.
Untuk info, Thitisan Utthanaphon mendapat gelaran ‘Joe Ferrari’ kerana minatnya terhadap kereta mewah ketika skandal rasuah mengejutkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Thailand, selain gaya hidupnya yang serba mewah.
Semoga hukuman yang diterimanya itu sedikit sebanyak dapat memberi keadilan buat mangsa dan diharap agar kes ini menjadi teladan kepada pihak berkuasa yang lain. Walaupun mempunyai kuasa, tidak bermakna mereka boleh melakukan sesuka hati sehingga menyebabkan kematian.
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.