Bekas Menteri Indonesia Dipenjara 12 Tahun, Terima Rasuah Projek Bantuan Makanan COVID-19

Share

Rasuah boleh didefinisikan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Kelakuan ini adalah satu kesalahan yang besar, lebih-lebih lagi jika ia mengaitkan individu yang berkuasa dalam sesebuah negara.

Di negara jiran kita, Bekas Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia telah pun dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana menerima rasuah sebanyak AS$1.2 juta (RM5.07 juta) yang berkaintan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin terjejas akibat pandemik COVID-19.

Foto: Indonesia Expat

Mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman itu terhadap Juliari Batubara susulan penahanannya pada Disember dan operasi yang menemukan sejumlah wang dalam beg pakaian, beg galas dan sampul surat.

Menurut Hakim Muhammad Damis dalam perbicaraan yang diakan secara maya ekoran penularan COVID-19, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh dan memerintahkannya untuk membayar denda 500 juta Rupiah (RM146,000) atau enam bulan lagi penjara.

Bekas ahli politik itu juga diperintahkan membayar ganti rugi setara sekitar AS$1 juta (RM4.23 juta) atau tambahan dua tahun penjara.

Foto: VOI

Terdahulu, menurut mahkamah Batubara mengambil wang daripada dua kontraktor yang dilantik membekalkan pakej makanan asas untuk rakyat Indonesia.

Malah, Presiden Indonesia, Joko Widodo berikrar tidak akan melindungi pegawai terbabit jenayah rasuah susulan tangkapan Batubara dan menganggap dana yang dicuri itu adalah wang rakyat.

Rasuah antara masalah besar yang berlaku di Indonesia, yang mana ahli politiknya dilihat antara ramai yang terbabit. Sebelum ini, agensi antirasuah republik itu menahan sejumlah penjawat awam beberapa tahun lalu, termasuk bekas Menteri Perikanan, Edhy Prabowo yang bulan lalu dipenjara selama lima tahun kerana kes rasuah berkaitan eksport udang galah.

Perkara-perkara seperti inilah yang ditakutkan oleh rakyat sekiranya mempunyai pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Diharap dengan hukuman yang diberikan ini dapat memberi kesedaran buat si pelaku.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman